Selasa, 4 April 2023 | 3:44pm
Khairul Hafiz ketika memenangi pingat emas acara 100m Sukan SEA KL 2017.
Khairul Hafiz ketika memenangi pingat emas acara 100m Sukan SEA KL 2017.

Khairul Hafiz selesa dengan status bukan pilihan

SEPANG: Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan selesa tampil dengan status sebagai 'underdog' tetapi pada masa yang sama tetap akan berjuang habis-habisan dalam misi memenangi pingat emas 100 meter (m) di Sukan SEA Kemboja, bulan depan.

Ketiadaan pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang ketika ini berpangkalan di Amerika Syarikat meletakkan pelari berusia 25 tahun berkenaan menjadi taruhan skuad olahraga negara untuk merampas kembali gelaran raja pecut Asia Tenggara di temasya dwitahunan itu.

Khairul Hafiz yang diberikan julukan 'The Speedy Jantan', berkata dia tidak tertekan dengan sandaran yang diletakkan di atas bahunya untuk kembali memenangi emas di Kemboja kerana sedar dengan persaingan yang bakal dihadapinya.

"Saya tiada apa-apa tekanan kerana kita tahu banyak (pelari) negara lain lebih laju daripada kita buat masa ini. Namun, saya tetap akan cuba yang terbaik buat negara.

"Saya sudah diberi tanggungjawab untuk galas acara 100m kali ini. Andai kata ada rezeki, Insya-Allah jadi," katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Walaupun berdepan laluan sukar, segalanya bukan mustahil berdasarkan 'magis' yang pernah dilakukan pelari berasal dari Melaka itu yang berjaya mencipta kejutan memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Ketika itu, dia juga diletakkan sebagai underdog tetapi berjaya mengatasi juara bertahan yang juga pilihan utama, Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan perak.

Di Kemboja nanti, Khairul Hafiz yang merakamkan catatan masa musim terbaiknya 10.34s dalam satu kejohanan di Australia, dua minggu lalu akan bersaing dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang diletakkan sebagai pilihan utama selepas muncul juara Sukan SEA Hanoi di Vietnam tahun lalu dengan catatan 10.44s.

Puripol mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.

Selain Khairul Hafiz, skuad olahraga negara turut mempertaruhkan kepercayaan kepada bekas pemenang emas Sukan SEA 2019 di Filipina, Muhammad Haiqal Hanafi bagi menggalas cabaran dalam acara 100m di Kemboja.

Berita Harian X