Ahad, 2 April 2023 | 4:33pm
Khairul Hafiz semakin menghampiri prestasi terbaiknya dalam acara pecut.
Khairul Hafiz semakin menghampiri prestasi terbaiknya dalam acara pecut.

Tunggu kejutan 'The Speedy Jantan'

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim optimis anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan mampu sekali lagi melakar kejutan dalam misi kembali bergelar Raja Pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Poad berkata ia berdasarkan perkembangan prestasi yang ditunjukkan pelari berusia 25 tahun itu selain dilihat sudah mendapat semula keyakinan dirinya selepas dihantui masalah kecederaan panjang sebelum ini.

Katanya, latihan dan penyertaan dalam kejohanan di Australia selama tiga minggu bermula 16 Mac lalu banyak membantu meletakkan Khairul Hafiz yang diberi julukan 'The Speedy Jantan' untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaiknya.

"Dari segi prestasi, atlet menunjukkan peningkatan terutama Khairul Hafiz. Dia dapat menunjukkan keyakinan dirinya selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini.

"Sebelum ke Australia, saya masih berhati-hati dalam latihan Khairul Hafiz. Selepas ini kita akan ikut perancangan yang sudah disusun dalam program latihannya bagi meningkatkan lagi tahap prestasinya bagi menghadapi Sukan SEA.

"Insya-Allah, saya yakin jika kami dapat memperbaiki beberapa kelemahan yang masih ada, akan ada kejutan nanti (daripada Khairul Hafiz)," kata Poad yang menjadi watak penting terhadap kejayaan Khairul Hafiz memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Khairul Hafiz memberi petanda awal kebangkitannya dengan meraih emas 100 meter (m) di Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, 19 Mac lalu dengan catatan 10.34 saat (s) - catatan peribadi terbaiknya musim ini.

Pelari kelahiran Melaka itu turut melangkah sehingga separuh akhir Terbuka Australia, semalam sebelum mengakhiri saingan di kedudukan keenam.

Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz mengejutkan juara bertahan yang juga pilihan utama ketika itu, Eric Cray dari Filipina untuk memenangi emas.

Di Kemboja kali ini, anak didik Poad itu akan bersaing dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang diletakkan sebagai pilihan utama selepas muncul juara Sukan SEA Hanoi di Vietnam tahun lalu dengan catatan 10.44s.

Puripol mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.

Selain Khairul Hafiz, skuad olahraga negara turut mempertaruhkan kepercayaan kepada Muhammad Haiqal Hanafi bagi menggalas cabaran dalam acara 100m di Kemboja.

Berita Harian X