KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas acara lompat bergalah Sukan SEA Vietnam, Nor Sarah Adi mahu membuktikan kejuaraan diraihnya itu bukan kerana nasib, apabila turun mewakili negara pada temasya itu di Kemboja, Mei ini.
Sarah berkata dia akan berusaha sebaik mungkin membuat persiapan dalam tempoh baki yang ada ini dengan setiap program yang diatur jurulatihnya kini berada di landasan tepat menjelang temasya edisi ke-32 itu.
"Saya mengambilnya sebagai satu cabaran," katanya yang melakukan lompatan 4 meter untuk melakar emas pada temasya dwitahunan itu. "Kalau Hanoi ia dianggap satu kebetulan, jadi untuk tahun ini saya nak buat ia satu kenyataan.
"Seperti saya sering katakan, saya akan tetap berdoa dan kalau ada rezeki, ia tetap ada untuk saya. Apapun, sekurang-kurangnya saya akan buat yang terbaik berbanding sebelum ini."
Dalam saingan di Stadium My Dinh, Hanoi itu, Sarah muncul juara selepas mengenepikan cabaran Chonthicha Khabut dari Thailand (3.80m) di tempat kedua dan atlet Filipina, Alyana Joyce Nocholas (3.60m) untuk pingat gangsa.
Emas diraih atlet dari Pahang berusia 23 tahun itu nyata tidak dijangka memandangkan Sarah ke Hanoi untuk menyertai acara 4x100 meter (m).
Namun, kejayaan Sarah itu nyata menjadi pembakar semangatnya untuk terus melakar pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa selepas itu. Antaranya meraih perak di Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan gangsa pada Sukan Solidariti Islam ke-5 di Konya, Turkiye tahun lalu.