Khamis, 23 March 2023 | 4:53pm
Kuartet 4x100m yang raih perak dan lebur rekod kebangsaan di Sukan SEA Hanoi tahun lalu.
Kuartet 4x100m yang raih perak dan lebur rekod kebangsaan di Sukan SEA Hanoi tahun lalu.

Kuartet 4x100 intai emas, lebur rekod di Kemboja

KUALA LUMPUR: Kuartet 4x100 meter (m) negara tampil dengan misi serampang dua mata apabila bukan saja mengintai peluang memenangi pingat malah bertekad untuk memecahkan rekod kebangsaan di Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim, berkata ia bukan misi mustahil berdasarkan perkembangan prestasi yang ditunjukkan barisan atlet pecut negara yang ketika ini sedang berkampung di Australia sejak 16 Mac lalu.

Katanya, catatan masa yang direkodkan pelari negara ketika Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, hujung minggu lalu membuktikan mereka di landasan tepat untuk mencetuskan impak di Kemboja.

Kejohanan di Queensland itu menyaksikan Malaysia mendominasi kedudukan podium diketuai Khairul Hafiz Jantan yang merakamkan masa terpantas 10.34s - catatan terbaik musim ini - diikuti Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.41s manakala Jonathan Nyepa ketiga 10.43s.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan catatan yang mereka lakukan. Sebenarnya, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana memang dalam latihan pun mereka sudah melakukannya.

"Selepas ini fokus akan diberikan kepada acara 4x100m ini apabila mereka beraksi pada Terbuka Australia pada 30 Mac ini. Memang harapan kita adalah untuk membentuk kuartet yang mantap bagi memecahkan rekod kebangsaan selain bersaing mendapatkan pingat," katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu kuartet yang dibarisi Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail bukan saja berjaya memenangi pingat perak malah turut memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.09s sekali gus memperbaiki rekod 39.27s yang dibuat pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Di Kemboja nanti, hanya Azeem yang tidak dapat beraksi kerana berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan tempatnya digantikan dengan Khairul Hafiz selain Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib turut disenaraikan membarisi kuartet kali ini.

Berita Harian X