Isnin, 6 March 2023 | 7:22pm
Gambar fail - Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (tengah) bersama Muhammad Haiqal Hanafi dilihat mampu merampas kembali gelaran raja pecut Sukan SEA pada di Kemboja Mei ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Gambar fail - Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (tengah) bersama Muhammad Haiqal Hanafi dilihat mampu merampas kembali gelaran raja pecut Sukan SEA pada di Kemboja Mei ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

Khairul, Haiqal mampu rampas kembali gelaran raja pecut

KUALA LUMPUR: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad yakin dengan kemampuan Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk kembali merampas pingat emas dalam acara 100 meter (m) pada Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Khairul Hafiz, 25, dan Haiqal, 24, menjadi taruhan Malaysia pada temasya dwitahunan itu, susulan ketiadaan pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang berkelana ke Amerika Syarikat sejak Januari lalu.

Kedua-dua atlet pecut berkenaan tidaklah asing dengan temasya Sukan SEA apabila mereka turut pernah menikmati gelaran sebagai raja pecut Asia Tenggara.

Khairul Hafiz mencipta sensasi apabila memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum Haiqal mempertahankan gelaran itu menerusi kejayaannya muncul juara pada edisi 2019 di Manila, Filipina.

Bagaimanapun, usaha Malaysia untuk mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut gagal di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu apabila menyaksikan atlet pecut Thailand, Puripol Boonson muncul juara dan dia sekali diletakkan sebagai pilihan utama pada saingan di Kemboja berdasarkan catatan masa peribadi terbaik 10.09 saat (s).

Bagi Nazmizan, biarpun Puripol sekali lagi dianggap sebagai pilihan tetapi tiada apa yang mustahil buat Khairul Hafiz dan Haiqal untuk melakar kejutan di Kemboja apatah lagi ada masa lebih kurang dua bulan untuk kedua-dua atlet melakukan persiapan.

"Status mereka sebagai bekas pemenang emas Sukan SEA, sedikit sebanyak pastinya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk beraksi dalam acara riben biru kali ini. Malah, faktor itu juga sebenarnya memberi tekanan kepada pesaing dari negara lain.

"Kita tahu Puripol diletakkan sebagai pilihan tetapi dengan persiapan rapi, saya yakin Malaysia mampu kembali merampas gelaran raja pecut. Dalam acara 100m, apa saja boleh berlaku, prestasi pada hari pertandingan itu yang akan menjadi penentu," kata Nazmizan yang memenangi emas 100 dan 200m Sukan SEA Hanoi 2003.

Selain acara 100m, Khairul Hafiz dan Haiqal turut akan memperkuatkan cabaran kuartet 4x100m negara di Kemboja bersama Muhammad Arsyad Md Saat dan Russel Alexander Nasir Taib.

Arsyad dan Russel akan beraksi dalam acara 200m. Khairul Hafiz dan Haiqal bersama barisan atlet olahraga yang lain kemungkinan besar akan berkampung di Brisbane, Australia selama dua minggu, bulan ini bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan di sana sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja.

Berita Harian X