KUALA LUMPUR: Pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi menutup musim dalam dewan dengan berada di tempat keempat pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC, awal pagi tadi.
Bertempat di Pusat Trek Tertutup Tyson di Fayetteville, Amerika Syarikat, Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan acara 60 meter (m) dengan 6.70 saat (s) - catatan sama dilakukannya ketika sesi kelayakan sebelum ini.
"Penutup untuk musim dalam dewan. Jumpa anda kejohanan luar!," tulis Azeem dalam ciapannya di Twitter.
Rakan sepasukannya, Favour Ashe memenangi saingan berkenaan dengan 6.52s manakala Jordan Anthony (Kentucky) berada di tempat kedua (6.57s) dan Godson Oghenebrume (LSU) ketiga (6.64s).
Meskipun berada dalam kelompok lima terbaik daripada lapan pelari di pentas final, Azeem nyata masih belum berpuashati dengan pencapaiannya apatah lagi selepas berjaya meleburkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan dengan catatan 6.63s ketika Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas, hujung bulan lalu.
Favour Ashe wins the SEC 60m final in a 6.52 PB!
Comes up holding his leg, hope he's okaypic.twitter.com/b01B6m7c3f— Travis Miller (@travismillerx13) February 25, 2023
Catatan itu membolehkan dia mengatasi rekod selama 24 tahun milik Watson Nyambek 6.66s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.
Azeem yang berasal dari Perak kemudiannya terus cemerlang apabila berjaya memperbaiki catatan berkenaan dengan merekodkan 6.62s ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina, 11 Februari lalu.
"Bukan hari saya. Perlu berlatih lagi!," tambahnya pada ciapan seterusnya.
Untuk rekod, pada Ogos tahun lalu, Azeem mencetuskan fenomena dengan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Cali, Colombia.