Rabu, 15 Februari 2023 | 5:30pm
Gambar fail - Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini berlatih di Universiti Auburn, AS. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.
Gambar fail - Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini berlatih di Universiti Auburn, AS. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.

Azeem tak pulang wakili negara ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sah tidak akan beraksi pada Sukan SEA Kemboja di sebalik hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang mahu dia menyertai temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

Bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid, berkata beliau sudah menjelaskan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling, semalam yang mana pihaknya mahu pelari pecut itu diberikan ruang untuk fokus terhadap program latihan dan kejohanan yang sudah diatur oleh Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, Azeem sememangnya terharu dengan usaha KOM yang mahu dia beraksi di Kemboja tetapi pada masa yang sama dia juga terikat dengan komitmen bersama universiti berkenaan dan jurulatihnya, Ken Harnden dan Leroy Burrell sudah pun menyusun program dan perancangan untuk dirinya.

"Dalam tempoh Sukan SEA itu, Azeem akan melalui fasa pertama kejohanan luar dewan yang mana ia akan menjadi medan untuk dia melayakkan diri beraksi di NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS). Malah, ia juga akan menjadi medan untuk dia melayakkan diri ke kejohanan atau temasya antarabangsa yang lain.

"Jadi, jika dia pulang waktu itu, sudah tentu ia menjejaskan perancangan jurulatihnya di sana. Lagipun, Azeem baru sebulan lebih di sana dan masih dalam proses menyesuaikan diri.

"Saya sudah menjelaskan kepada Datuk Mark yang menghubungi saya semalam mengenai perkara ini dan saya maklumkan kepada beliau mengenai pendirian kami dalam hal ini. Beliau bersetuju dengan pandangan saya dan saya anggap perkara ini selesai," katanya.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pihaknya sedang berusaha untuk 'menerbangkan' Azeem dari AS untuk bertanding di Sukan SEA Kemboja.

Beliau, berkata pelari berasal dari Perak itu berpotensi untuk memenangi emas 100m berdasarkan catatan terbaik dimilikinya 10.09 saat (s) yang juga rekod kebangsaan.

Malah, Mark ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA Kemboja memberitahu beliau sendiri akan terbang ke AS, bulan depan bagi mengadakan rundingan dengan Universiti Auburn bagi mendapatkan pelepasan buat atlet berkenaan.

Azeem semakin menyinar di AS biarpun kurang dua bulan 'berguru' di sana apabila dua kali berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan.

Berita Harian X