Selasa, 14 Februari 2023 | 8:41pm
Gambar fail - Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad. - Foto ihsan Berita Portal RTM
Gambar fail - Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad. - Foto ihsan Berita Portal RTM

Tak setuju KOM bawa pulang Azeem sertai Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang mahu membawa pulang Muhammad Azeem Fahmi untuk dia beraksi di Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Nazmizan, 41, berkata adalah lebih baik semua pihak memberi ruang kepada pelari pecut berusia 18 tahun itu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi siri kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, semua pihaknya seharusnya mendoakan Azeem yang kini berlatih dan melanjutkan pengajian di Universiti Auburn mampu mencapai misinya untuk menjadi pelari pecut pertama negara mencatatkan masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100m.

"Untuk KOM membawa balik Azeem, saya memang tidak setuju. Biarlah dia beraksi di NCAA kerana ia adalah kejohanan yang besar di AS.

"Lagipun, Azeem sendiri sudah memaklumkan sebelum ini yang tidak akan balik untuk beraksi di Sukan SEA kerana terikat dengan komitmen bersama universiti yang memberikan dia biasiswa penuh di sana.

"Jadi, tidak perlu kita kacau dia untuk persiapannya beraksi dalam saingan NCAA. Kita doakan yang terbaik untuk Azeem di NCAA agar dia capai misi untuk berlari di bawah 10s. Tahun ini juga ada Sukan Asia Hangzhou dan Kejohanan Dunia, jadi kita boleh gunakan khidmatnya untuk kejohanan itu nanti," kata Nazmizan.

Nazmizan yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2003 dalam acara 100m dan 200m, berkata masih ada peluang untuk Azeem bertanding di temasya dwitahunan itu pada masa akan datang.

"Sukan SEA berlangsung dua tahun sekali, bila-bila pun dia boleh balik dan bertanding pada Sukan SEA akan datang iaitu pada 2025 atau 2027. Buat masa sekarang, kita beri ruang kepada dia untuk memantapkan prestasinya termasuklah dari segi fizikal dan pecutan.

"Biarlah dia fokus untuk Sukan Asia tahun ini. Jika dia boleh menunjukkan prestasi yang baik di NCAA dan mendapatkan kedudukan tiga terbaik, kita boleh sasarkan dia pingat emas atau podium di Sukan Asia nanti," katanya.

Sukan Asia Hangzhou akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pihaknya sedang berusaha untuk 'menerbangkan' Azeem dari AS untuk bertanding di Sukan SEA Kemboja.

Katanya, pelari berasal dari Perak itu berpotensi untuk memenangi emas 100m berdasarkan catatan terbaik dimilikinya 10.09 saat (s) yang juga rekod kebangsaan tetapi masalah timbul apabila Azeem juga terikat dengan komitmen kejohanan bersama universitinya ketika Sukan SEA berlangsung.

Bagaimanpun, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling, berkata beliau sendiri akan terbang ke AS, bulan depan bagi mengadakan rundingan dengan Universiti Auburn bagi mendapatkan pelepasan buat atlet berkenaan.

Azeem ketika ini berkongsi catatan terbaik dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang turut melakukan 10.09s ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.

Puripol adalah pemenang pingat emas acara 100 dan 200m Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.

Azeem semakin menyinar di AS biarpun baru kurang dua bulan berpangkalan di sana apabila dua kali berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan.

Berita Harian X