KUALA LUMPUR: Tiada perasaan cemburu dalam diri atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi melihat kepada pencapaian yang dilakar rakan senegara, Muhammad Azeem Fahmi yang semakin menyinar di Amerika Syarikat (AS).
Azeem, 19, yang kini berlatih dan melanjutkan pengajiannya di Universiti Auburn sejak bulan lalu semakin menyinar di AS apabila sudah dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan.
Pelari berasal dari Perak itu mula mencetuskan fenomena bermula dengan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
Justeru, Haiqal, 24, yang juga pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan SEA Manila 2019 itu menjadikan pencapaian Azeem sebagai motivasi buat dirinya untuk merapatkan jurang dengan pemegang rekod kebangsaan berkenaan.
"Saya tidak cemburu dengan pencapaian Azeem kerana dia memang berbakat, jadi memang rezeki dia. Saya harap dia di sana (AS) nanti boleh melakukan catatan yang lebih baik, saya percaya dia boleh buat bawah 10s.
"Apa yang ditunjukkan Azeem kepada Malaysia sejak tahun lalu lagi sememangnya membakar semangat saya untuk melakukan yang lebih baik lagi. Saya sedar ia bukan mudah tetapi saya akan terus bekerja keras," kata Haiqal.
Haiqal jelas tidak mahu ketinggalan apabila menjuarai saingan 100m Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 dengan catatan 10.46s, kelmarin.
Catatan itu membolehkan Haiqal mengesahkan tiket secara merit ke Sukan SEA Kemboja, Mei depan.
Haiqal, berkata sebagai persiapan ke Kemboja, dia bersama atlet negara yang lain kemungkinan besar akan berkampung di Brisbane, Australia selama dua minggu, bulan depan bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan di sana.
"Ikut perancangan ada dua kejohanan pada waktu itu nanti termasuk Terbuka Australia. Saya harap di sana nanti saya dapat perbaiki kelemahan dan buat persiapan terbaik.
"Pada masa yang sama, saya juga minta dijauhkan daripada kecederaan kerana apabila cedera, memang ambil masa yang lama untuk pulih," kata Haiqal yang turut akan beraksi dalam acara 4x100m di Kemboja bersama Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail.