KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pihaknya sedang berusaha untuk 'menerbangkan' pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dari Amerika Syarikat (AS) untuk bertanding di Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.
Beliau, berkata Azeem yang kini berlatih dan melanjutkan pengajian di Universiti Auburn di AS berpotensi untuk memenangi pingat emas acara 100 meter (m) berdasarkan catatan terbaik dimilikinya 10.09 saat (s) yang juga rekod kebangsaan.
"Berdasarkan rekod itu, dia sewajarnya mewakili negara untuk Sukan SEA. Namun, masalahnya sekarang dia juga terikat dengan komitmen kejohanan bersama universitinya ketika Sukan SEA berlangsung.
"Jadi, sekarang kita sedang berusaha untuk membolehkan dia datang terus dari sana (AS) dan bertanding di Kemboja dan selepas itu kita hantar dia pulang.
"Kalau dia tidak dapat bertanding, rugilah untuk dia mencipta rekod kejohanan yang cukup penting di Asia Tenggara, kalau tidak dia kena tunggu Sukan Asia," kata Shahidan.
Azeem ketika ini berkongsi catatan terbaik dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang turut melakukan 10.09s ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
Puripol adalah pemenang emas bagi acara 100m dan 200m pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
Dalam pada itu, Shahidan memberitahu KOM kekal menyasarkan 10 emas di Sukan SEA Kemboja dan akan mempertaruhkan atlet senior bagi mencapai sasaran berkenaan biarpun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini menggesa persatuan untuk menyenaraikan atlet muda bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
"Kami mahukan pingat. Jika kami kurang mendapat pingat, orang ramai akan menyalahkan kami. Untuk memenangi pingat, kami perlu menghantar atlet terbaik.
"Saya tahu mengenai media dan orang ramai. Jika kami tidak mendapat pingat, mereka tidak akan menulis tentang pendedahan, sebaliknya apa yang akan diketengahkan ialah kegagalan KOM melakukan itu dan ini.
"Jika pasukan dihantar untuk pendedahan, maka kami tidak harus dipersalahkan apabila mereka tidak mendapat pingat. Jadi, adakah Sukan SEA untuk pendedahan? Tidak, anda berada di sana untuk menang," katanya.