KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera wanita negara, Queenie Ting tampil dengan misi besar untuk musim 2023 apabila memburu catatan lontaran sejauh 55 meter (m) dalam usaha layak secara merit ke Sukan Asia Hangzhou, September ini.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 52.77m itu, berkata selain layak ke Sukan Asia, dia turut menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja pada Mei.
"Untuk tahun ini sasaran saya adalah untuk mencapai apa yang ditetapkan oleh jurulatih iaitu layak ke Sukan Asia dan cuba meraih emas di Sukan SEA
"Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk dapat emas di Sukan SEA walaupun ia sebenarnya agak sukar kerana perlu bersaing dengan atlet Thailand yang juga seorang Olimpian tetapi ia bukan mustahil," katanya.
Atlet kelahiran Sarawak itu menutup musim 2022 dengan pencapaian cemerlang apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan balingan 52.77m pada Kejohanan Olahraga Grand Final Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bulan lalu sekali gus memadamkan rekod lama miliknya 52.36m yang dilakukan ketika meraih perak di Sukan SEA Vietnam, Mei lalu.
Pada temasya Sukan SEA Hanoi, Queenie meraih perak tewas kepada atlet Thailand Subenrat Insaeng yang melakukan lontaran emas 53.09m manakala gangsa milik seorang lagi atlet negara Choo Kang Ni, 46.57m.