KUALA LUMPUR: Tahun 2023 bakal menyediakan cabaran baharu buat atlet olahraga negara, Nor Sarah Adi yang bertekad menunjukkan 'taring sebenarnya'.
Sarah menutup tirai 2022 dengan penuh cemerlang apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara lompat bergalah di Sukan SEA Vietnam - temasya yang menaikkan namanya dan membantu momentum untuk mencapai pelbagai lagi warna pingat di kejohanan lain seperti di Sukan Perpaduan Islam di Turki dan Sukan Universiti ASEAN.
Di Hanoi, atlet berusia 22 tahun itu berjaya melakukan lompatan 4 meter (m) untuk meraih emas dan dia berazam untuk memecahkan rekod dipegang atlet Filipina, Natalie Uy pada ketinggian 4.25m di Kemboja 2023.
"Setakat ini saya berpuashati... kita percaya kepada jurulatih dan jurulatih juga begitu. Jadi, apa yang jurulatih inginkan, berjaya saya dapatkan. Sekurang-kurangnya ada pembaharuan daripada sudut latihan, saya ada peningkatan teknik dan (kelemahan) saya perbaiki.
"Secara keseluruhan, saya berpuashati (dengan prestasi 2022) dan teruja menantikan 2023. Kalau diikutkan, ada perkara yang baik untuk 2023, saya yakin yang tahun 2023 akan ada lagi pembaharuan (lebih baik daripada 4m).
"Sebenarnya, apa yang saya gunakan sebelum ini adalah kekuatan asas saja. Jadi saya kena tambahkan pembinaan otot lagi untuk menjadi lebih baik," kata atlet kelahiran Felda Jengka 3 di Maran, Pahang itu.
Selain meraih emas dalam acara lompat bergalah di Hanoi, Sarah turut membantu kuartet 4x100m wanita disertai S Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s.