KUALA LUMPUR: Meskipun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara lempar cakera wanita untuk kali kedua tahun ini, Queenie Ting Kung Ni masih belum dapat mencapai sasaran diletakkan.
Queenie berkata sasaran sebenarnya untuk 'menutup buku' 2022 adalah melakukan catatan 55 meter (m), namun dua rekod kebangsaan yang dilakukannya tahun ini sudah memadai menjelang jadual musim depan yang diisi Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia.
Jumaat lalu, dia memecahkan rekod kebangsaan acara berkenaan pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) dengan catatan baharu 52.77m, untuk memadam catatan dilakukannya sebelum ini pada Sukan SEA Vietnam iaitu 52.36m.
"Rasa gembra kerana saya menyasarkan 55m. Itu adalah sasaran utama untuk menutup buku 2022 ini. Namun tak dapat dilakukan tetapi bagi saya ia okey. Gembira kerana saya dapat juga memecah rekod kebangsaan.
"Saya akan cuba yang lebih baik untuk mempercepatkan lagi masa untuk mencapai sasaran diharapkan," kata Queenie yang meraih perak pada Sukan SEA Vietnam dengan emas menjadi milik atlet Thailand, Subenrat Insaeng, 53.09m.
Pencapaian di Hanoi itu secara tidak langsung memperbaiki kilauan pingat diraihnya daripada gangsa pada Sukan SEA Filipina 2019 dengan ketika itu melakukan 45.28m.
"Untuk Sukan SEA Kemboja, saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan pingat emas," kata atlet dari Sarawak berusia 24 tahun itu.