KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memberi bayangan dia kemungkinan besar tidak menyertai Sukan SEA Kemboja yang dijadual berlangsung pada Mei tahun depan.
Atlet berusia 18 tahun itu yang akan menyambung pengajian dan latihan di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) bulan depan sebaliknya, berkata fokus utamanya bagi musim 2023 adalah Kejohanan Olahraga Asia di Thailand dari 12 hingga 16 Julai diikuti Kejohanan Dunia di (19 hingga 27 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (23 September hingga 8 Oktober).
Katanya, faktor kesuntukan masa mungkin tidak mengizinkannya pulang bagi menggalas cabaran kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja.
"Selepas berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) keutamaan akan diberikan kepada pengajian saya di universiti dan kebarangkalian untuk balik sertai Sukan SEA tahun depan agak tipis.
"Jadi, saya mungkin terpaksa lupakan Sukan SEA dan fokus kejohanan lebih besar dengan sasaran saya adalah layak ke Kejohanan Dunia seterusnya Olimpik," katanya yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m).
Azeem perlu mencatatkan masa 10 saat (s) bagi mengesahkan tiket secara merit ke Kejohanan Dunia.
Pelari berasal dari Ipoh, Perak itu mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s ketika peringkat saringan Kejohanan Olaharaga Dunia Bawah 20 tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu sebelum menamatkan saingan di kedudukan kelima di pusingan akhir.
Dia memperbaharui rekod kebangsaan yag sebelum itu dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.
Dalam pada itu, Azeem, berkata dia sudah bersedia untuk memulakan kehidupan baharu di AS dan percaya tidak akan berdepan masalah untuk dia menyesuaikan diri dengan corak latihan di sana.
"Insya-Allah tidak ada masalah sebab universiti sudah memantau keadaan saya sejak bulan 11 lagi dan kini sudah dua bulan dalam pemantauan mereka. Saya perlu maklumkan apa yang dilakukan di Malaysia kepada mereka.
"Malah universiti sudah berjanji untuk menjaga kebajikan saya sepanjang di AS selain akan diberi peluang untuk pulang ke tanah air bagi tempoh yang lama iaitu satu bulan sekurang-kurang sekali setahun," katanya Raja Pecut SUKMA 2022 itu.