Jumaat, 18 November 2022 | 6:45pm
Burrell janji akan rangka program berkesan untuk Azeem di Auburn.
Burrell janji akan rangka program berkesan untuk Azeem di Auburn.

Bekas pemegang rekod dunia 100m intai Azeem sejak 2015

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Auburn di Amerika Syarikat, Leroy Burrell berjanji akan membantu jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi melonjakkan prestasinya selepas memilih untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di universiti berkenaan.

Bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid, berkata pendekatan dan keikhlasan yang ditunjukkan Burrell yang juga bekas pemegang rekod 100 meter (m) dunia dua kali dan penolongnya, Ken Harnden menjadi salah satu faktor atlet berusia 18 tahun itu memilih ke Universiti Auburn.

Katanya, selepas perbincangan dilakukan antara mereka secara atas talian sebelum ini, Burrell sentiasa berhubung dengan jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah bagi memantau perkembangan atlet berkenaan.

"Kedua-dua jurulatih iaitu Burrell dan Harnden, mereka sangat terbuka. Rupa-rupanya mereka sudah melihat prestasi Azeem menerusi video sejak dia berusia 15 tahun, ketika itu dia mencipta rekod peringkat remaja dalam acara 200m pada 2019.

"Mereka juga bertanyakan pandangan Amir mengenai prestasi dan perkembangan Azeem. Mereka sangat menghormati Amir dan tahu Malaysia ada jurulatih dan atlet yang baik.

"Burrell memaklumkan yang mereka akan rancang program yang berkesan untuk Azeem, apa yang perlu ditingkatkan dan ditambah baik apabila Azeem memulakan pengajian dan latihannya di Universiti Auburn nanti," katanya.

Berdasarkan rekod, Burrell, 55, mencipta rekod dunia 100m pada Jun 1991 dengan kepantasan 9.90 saat (s) sebelum rekodnya itu dileburkan Carl Lewis, 9.86s tiga bulan kemudian di Kejohanan Trek dan Balapan Dunia.

Namun, Burrell kemudian mencipta rekod dunia sekali lagi pada 1994 dengan kepantasan 9.85s sebelum Donovan Bailey meleburkannya di Sukan Olimpik 1996 dengan catatan 9.84s

Harnden pula adalah bekas atlet Zimbabwe yang memenangi pingat gangsa acara 400m berhalangan di Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, teka-teki mengenai pilihan universiti Azeem akhirnya terjawab selepas dia memilih Universiti Auburn untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya.

Perkembangan itu dikongsikan di media sosial pasukan trek dan balapan universiti berkenaan apabila memuat naik poster mengalu-alukan kedatangan pelari pecut berusia 18 tahun itu.

Dalam hantaran itu ditulis: "Malaysia ke Auburn. Welcome home Azeem Fahmi."

Selepas meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah Tahun di Colombia, Ogos lalu.

Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di AS sebelum memilih Universiti Auburn.

Azeem dijadual berangkat ke AS dan memulakan pengajiannya pada Januari depan. Difahamkan, atlet berkenaan akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Fisiologi Senaman dan Kinesiologi dengan biasiswa penuh daripada Universiti Auburn.

Berita Harian X