KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pilihan universiti buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akhirnya terjawab selepas atlet itu memilih untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan itu dikongsikan di media sosial pasukan trek dan balapan universiti berkenaan apabila memuat naik poster mengalu-alukan kedatangan pelari pecut berusia 18 tahun itu.
Dalam hantaran itu ditulis: "Malaysia ke Auburn. Welcome home Azeem Fahmi."
Keputusan Azeem itu menyaksikan dia bakal menerima bimbingan bekas pemegang rekod dunia 100 meter, Leroy Burrell yang bertindak sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Auburn.
Malaysia ➡️ Auburn.
Welcome home, Azeem Fahmi!#WarEagle pic.twitter.com/per0fp4ZUq— Auburn Track & Field (@AuburnTFXC) November 17, 2022
Selepas meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah Tahun di Colombia, Ogos lalu.
Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di AS sebelum memilih Universiti Auburn.