Ahad, 18 September 2022 | 5:07pm
Pelari pecut Johor, Muhammad Arsyad Md Saat memenangi acara 200 meter Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Pelari pecut Johor, Muhammad Arsyad Md Saat memenangi acara 200 meter Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Arsyad ungguli acara 200m

KUALA LUMPUR: Pelari pecut Johor, Muhammad Arsyad Md Saat mendedikasikan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 200 meter (m) di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 buat bapanya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-59 hari ini.

Terdahulu, Arsyad melakukan pecutan pada 10 meter terakhir bagi memintas raja pecut SUKMA, Muhammad Azeem Fahmi dari Perak dengan catatan 21.02s dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejayaan itu menyaksikan Arsyad berjaya melunaskan dendam ke atas Azeem selepas tewas di tangan pencabar itu dalam saingan akhir 100m, kelmarin.

Azeem, yang dilaporkan mengalami kecederaan hamstring, meraih perak selepas merakamkan 21.03s manakala gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 21.18s.

Arsyad berkata, emas yang dimenangi sangat bermakna sempena hari lahir bapanya Md Saat Jaafar yang ke-59 hari ini.

"Saya hanyar fikir untuk habiskan larian dan mengetahui strategi Azeem yang akan pecut terlebih dahulu. Oleh itu, saya mengikutnya dan apabila hampir di garisan penamat terus memecut.

"Pingat emas ini cukup penting kerana saya mahu hadiahkan kepada ayah saya sempena hari lahirnya ke-59 hari ini. Saya harap abah dapat tengok ini dan ini adalah hadiah untuk abah," katanya.

Saingan 100m kelmarin menyaksikan Azeem dinobatkan sebagai raja pecut manakala Arsyad dan Haiqal masing-masing meraih perak dan gangsa.

Sementara itu, saingan 200m wanita menyaksikan emas dimenangi atlet Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dengan catatan 24.83s diikuti Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah 25.14s.

Gangsa pula menjadi milik atlet Pahang, Darshini K Murugan selepas mencatatkan 25.74s.

Berita Harian X