Ahad, 18 September 2022 | 2:11pm
Atlet olahraga Pahang, Nor Sarah Adi berdepan masalah dalam acara lompat bergalah SUKMA apabila galahnya hilang. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Atlet olahraga Pahang, Nor Sarah Adi berdepan masalah dalam acara lompat bergalah SUKMA apabila galahnya hilang. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Galah 'hilang' musnahkan impian Nor Sarah

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Nor Sarah Adi berdepan insiden malang apabila galahnya 'hilang' sebelum turun beraksi pada final acara lompat bergalah wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, hari ini.

Situasi itu menyebabkan atlet berusia 22 tahun berkenaan terpaksa menggunakan galah atlet lain yang menjurus kepada kegagalannya melakukan sebarang catatan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sarah, berkata disebabkan insiden yang menghantui dirinya itu, dia hilang keyakinan ketika beraksi sekali gus tidak dapat mempamerkan prestasi terbaiknya.

"Lompat galah tidak okey, tiada catatan. Saya langsung tidak yakin waktu lompat (walaupun) had ketinggian 2.90 meter (m) sebab saya tidak guna galah saya.

"Saya bawa galah sendiri tetapi mungkin ada orang tukar. Saya tidak tahu mahu cakap apa sebab saya sudah sediakan semuanya letak di stor MSN (Majlis Sukan Negara) semalam.

"Ada orang buka guna galah saya semalam (kelmarin) dan letak balik galah yang salah. Jadi bila saya buka pagi tadi, tengok-tengok bukan galah saya," kata atlet Pahang itu dengan nada yang kecewa.

Kegagalan Sarah yang diletakkan sebagai pilihan utama menyaksikan pingat emas dimenangi atlet Sarawak, Evelyne Tan Xie Yie dengan catatan 2.90m.

Atlet Wilayah Persekutuan, Nur Anis Natasha Abdul Razie meraih perak selepas mencatatkan 2.80m manakala gangsa menjadi milik Ch'ng Qin Yan dari Pulau Pinang dengan catatan 2.50m.

Sarah yang dinobatkan ratu pecut SUKMA 2022 selepas mengungguli saingan 100m wanita, kelmarin berkata dia menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka tetapi pada masa yang sama menegaskan akan kembali bangkit dalam misi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Penat dan hamstring antara faktor juga sebab tiga hari saya ada acara. Saya beritahu jurulatih keadaan badan tidak berapa bagus sebab bangun pagi pun rasa badan tidak sedap.

"Saya terima ujian saya pagi ini. Saya perlu fikir macam mana untuk bangkit selepas saya jatuh. Apabila kita selalu menang, kita tak fikir bagaimana untuk tangani dugaan macam ini," katanya yang meraih emas di Hanoi dengan catatan 4m.

Berita Harian X