KUALA LUMPUR: Jurulatih Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah menafikan anak didiknya mendapat tawaran jutaan ringgit untuk menjadi pelari profesional.
Sebaliknya, jurulatih itu menegaskan tawaran daripada dua ejen itu masih di peringkat awal serta nilai bayaran juga tidak dibincangkan lagi.
Malah, Muhammad Amir percaya Azeem mampu membuat keputusan tepat dengan memilih untuk mengutamakan pelajarannya apatah lagi peluang menjadi pelari profesional tetap ada selepas menamatkan pengajian.
"Tak ada (nilai yang ditawarkan ejen). Memang tak didedahkan. Apabila kita bernaung di bawah ejen itu, barulah ejen itu akan uruskan semua perkara. Apabila ada syarikat bersetuju, baru diberitahu berapa bayaran setahun dan sebagainya.
"Jadi, nilai itu tak disebut kerana dia (ejen) bertindak seperti pengurusan. Apabila (kita) terima, maka mereka akan carikan.
"Ia (nilai bayaran) bergantung antara ejen dengan syarikat yang nak menaja itu. (Buat masa ini), berapa bayaran itu, tak ada lagi (disebut).
"Apabila dah bersetuju dengan syarikat itu, baru ejen akan membuat kerjanya. Bukannya terus tawar dengan berapa (jumlah) bayaran... tidak, bukan begitu," kata Muhammad Amir ketika dihubungi.
Semalam, Azeem mendedahkan kemungkinan terpaksa menolak tawaran dari dua ejen - masing-masing berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah - yang mahu mengambilnya sebagai atlet profesional sejurus selesai menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada awal bulan yang lalu.
Katanya, berbanding menolak terus tawaran terbabit, proses perbincangan dengan dua ejen terbabit masih berjalan namun mengakui kemungkinan besar terpaksa menolak kedua-duanya bagi beralih fokus kepada pengajian tinggi.
Muhammad Azeem berkata, menjadi atlet profesional bererti perlu bekerja dengan syarikat terbabit untuk menyertai pelbagai kejohanan dan ditawarkan imbuhan lumayan serta pelbagai inisiatif lain termasuk kos pengangkutan dan kediaman ditanggung.
Susulan itu, netizen menjangkakan jaguh pecut itu mendapat tawaran jutaan ringgit untuk menjadi atlet profesional.
"Walaupun sudah berbincang, Azeem akan lebih mengutamakan kepada pendidikannya. Dia nak selesaikan dulu pendidikan dan sebagainya.
"Jika perancangan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat itu berjalan lancar... selepas tamat pengajian itu pun tak ada masalah (untuk menjadi pelari profesional)," kata Muhammad Amir.