Rabu, 10 Ogos 2022 | 5:15pm
Azeem bersama bapanya, Fahmi Tajuid dan ibunya, Norazah Ibrahim yang menanti kepulangannya dari Cali, Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Azeem bersama bapanya, Fahmi Tajuid dan ibunya, Norazah Ibrahim yang menanti kepulangannya dari Cali, Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Azeem berbelah bahagi

SEPANG: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berada dalam dilema bagi memilih universiti terbaik untuk dia melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Atlet berusia 18 tahun itu yang mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, minggu lalu, berkata setakat ini dua universiti dalam pertimbangannya iaitu Universiti Houston dan Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang bertanding di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, Cali, Colombia bersama ibu bapa beliau, Mohd Fahmi Tajuid dan Norazah Ibrahim menerima panggilan video daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - NSTP/Aizuddin Saad

Katanya, jika dia memilih Universiti Houston, salah satu sebab adalah kerana universiti berkenaan sudah melahirkan ramai jaguh pecut bertaraf dunia selain legenda AS yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih.

"Selain itu, di Houston komuniti Islam di sana besar yang mana sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan jaguh pecut bertaraf dunia termasuklah yang ada ketika ini Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Universiti ini juga memang terkenal dalam sukan olahraga dunia yang mana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis.

"Namun, baru-baru ini saya juga mendapat tawaran dari Universiti Auburn yang mana dari segi akademi memang mereka lebih bagus berbanding universiti sukan yang lain. Setakat ini, inilah dua universiti yang bermain dalam fikiran saya sekarang.

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang bertanding di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, Cali, Colombia ditemubual wartawan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - NSTP/Aizuddin Saad

"Kedua-dua universiti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun, kedua-dua ada dalam divisyen satu (saingan olahraga di AS). Ini adalah peluang untuk saya menyerta kejohanan besar yang lain seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian.

"Apa pun saya akan bincang dengan keluarga dan jurulatih untuk memutuskan universiti mana yang terbaik untuk masa depan saya," kata Azeem ketika ditemui sebaik tiba dari Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Catatan direkodkan Azeem di Colombia menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan sebelum ini 10.18s ketika menjuarai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Azeem yang layak sehingga peringkat akhir bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s.

Selain Houston dan Auburn, Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) turut menerima tawaran daripada dua lagi universiti iaitu Minnesota dan Oregon.

Pelari muda itu, berkata jika semuanya berjalan dengan lancar, dia menyasarkan untuk mendaftarkan diri di universiti yang menjadi pilihannya pada Januari depan.

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang bertanding di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, Cali, Colombia disambut meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - NSTP/Aizuddin Saad

"Banyak proses perlu saya lakukan termasuklah menghadiri kelas bagi membolehkan melanjutkan pengajian di AS. Kalau ikutkan kami sasarkan masuk pengambilan Januari tetapi jika tidak sempat, memang kena masuk pengambilan September tahun depan," katanya.

Berita Harian X