Jumaat, 5 Ogos 2022 | 5:51pm
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer. - Foto AFP
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer. - Foto AFP

Jackie, Grace sasar pecah rekod aksi final

BIRMINGHAM: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei akan turun beraksi pada aksi final masing-masing pada Sukan Komanwel di Stadium Alexander di sini, esok.

Tanpa diberi sebarang harapan meraih sebarang kilauan pingat, kedua-duanya bagaimanapun sudah pasti diharap untuk sekurang-kurangnya memperbaiki rekod peribadi masing-masing.

Jackie layak ke final tanpa perlu melalui pusingan kelayakan manakala Grace menduduki tempat ke-12 dan terakhir slot berkenaan semalam dengan catatan balingan 59.53 meter (m).

Rekod balingan terbaik Jackie yang juga rekod kebangsaan adalah 68.22m yang dilakar pada 2019 manakala Grace adalah 62.48m yang juga rekod kebangsaan.

Saingan final lelaki dijadual bermula 11.48 pagi waktu tempatan manakala wanita, 9 malam.

Jackie ketika ditemui sebelum ini berharap dapat melakar rekod baharu peribadi pada pentas final Sukan Komanwel biarpun menyedari ia bukan tugas mudah kerana cuaca sejuk di sini.

"Saya akan cuba sebaik mungkin," katanya yang meraih emas pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, baru-baru ini, selain pernah bergelut akibat dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, pengurus olahraga negara, M Iyaru berharap Jackie dan Grace akan menggunakan peluang beraksi di pentas final berkenaan bagi memperbaiki rekod peribadi masing-masing.

"Pada umumnya kami gembira, mereka berdua layak ke final. Namun kita berharap mereka juga boleh perbaiki rekod masing-masing kerana ini adalah pentas terbaik apabila dapat peluang bersaing dengan atlet-atlet hebat dunia," katanya.

Berita Harian X