Khamis, 4 Ogos 2022 | 11:10am
Nama Azeem ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat.
Nama Azeem ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat.

Azeem pilih ke Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi sudah pun membuat keputusan dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi pilihannya bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah ketika berkongsikan perkembangan itu, berkata Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di universiti di AS - di Minnesota, Oregon dan Houston.

"Azeem sudah putuskan untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara dan dia mahu ke AS. Cuma, sekarang sedang dalam perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti yang terbaik untuk dirinya.

"Namun, besar kemungkinan universiti di Houston akan menjadi pilihan Azeem. Jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti," kata Amir.

Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto NSTP
Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto NSTP

Nama Azeem, 18, ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, kelmarin.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul HafizJantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100m bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s, awal pagi semalam.

Bagi acara 200m pula, langkah pelari berasal dari Perak itu terhenti di peringkat separuh akhir selepas selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua dengan catatan 20.97s, awal pagi tadi.

Sebelum itu, dia berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dalam acara berkenaan ketika memenangi perlumbaan saringan tiga pusingan kelayakan dengan catatan 20.83s.

Muhammad Azeem Fahmi (kanan) memenangi 200m individu lelaki pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini MSN Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Fathil Asri
Muhammad Azeem Fahmi (kanan) memenangi 200m individu lelaki pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini MSN Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Fathil Asri

Catatan direkodkan Azeem itu dianggap masa kedua dua terpantas dalam sejarah acara 200m negara selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada tahun 2019.

Mengulas prestasi keseluruhan Azeem pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia Bawah 20 tahun kali ini, Amir menyifatkan pencapaian diraih anak didiknya itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan prestasi Azeem dalam acara 100 dan 200m selepas dia berjaya mencatatkan masa yang sangat baik. Pada saya ia adalah pencapaian yang sangat boleh dibanggakan.

"Walaupun dalam acara 200m dia tidak berjaya ke final tetapi saya tidak berasa kecewa kerana dia berjaya melakukan catatan peribadi terbaiknya iaitu 20.83s yang mana sebelum ini adalah 20.89s.

"Bagi saya, dia menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam kejohanan peringkat tinggi," katanya.

Berita Harian X