Khamis, 4 Ogos 2022 | 11:02am
Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto fail NSTP
Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto fail NSTP

Terima kasih semua - Azeem

KUALA LUMPUR: Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi berjanji akan 'menghadiahkan' rakyat Malaysia catatan di bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) tidak lama lagi.

Pelari berusia 18 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada dirinya dalam penampilan pertama di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun yang berlangsung di Cali, Colombia.

"Berlari di pentas dunia adalah sesuatu yang berharga dan banyak yang saya belajar. Terima kasih semua yang sentiasa menyokong saya.

"Saya berjanji kepada anda semua, anda akan menyaksikan pelari pertama Malaysia yang berlari dengan catatan di bawah 10s tidak lama lagi," kata Azeem menerusi ruangan di Instastory miliknya.

Muhammad Azeem Fahmi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada dirinya dalam penampilan pertama di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun yang berlangsung di Cali, Colombia. - Foto INSTAGRAM
Muhammad Azeem Fahmi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada dirinya dalam penampilan pertama di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun yang berlangsung di Cali, Colombia. - Foto INSTAGRAM

Kelmarin, pelari berasal dari Perak itu mencipta sensasi apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan dengan catatan 10.09, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100m bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s, awal pagi semalam.

Sementara itu, Azeem tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dalam acara 200m biarpun langkahnya terhenti di peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua, awal pagi tadi.

Dia terpaksa akur apabila hanya mencatatkan masa 20.97s sekali gus tidak berjaya untuk meneruskan kemaraan ke pentas final.

"Terpaksa ditunda selama dua jam dan berlari dalam keadaan hujan tetapi Alhamdulillah saya berjaya menamatkan saingan sehingga garisan penamat.

"Tiada apa yang hendak dimalukan dan saya bangga berjaya mara sejauh ini. Buat semua yang mengharapkan saya berlari di pentas final, saya mohon maaf tidak berjaya melakukannya.

"Allah adalah perancang terbaik dan saya pasti akan ada sesuatu yang lebih besar menanti untuk saya pada masa depan.

"Alhamdulillah untuk semuanya dan kini berakhirlah perjalanan saya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun," katanya yang berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dalam acara itu ketika memenangi perlumbaan saringan tiga pusingan kelayakan dengan catatan 20.83s sebelum itu.

Catatan direkodkan Azeem itu dianggap masa kedua terpantas dalam sejarah acara 200m negara iaitu selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada 2019.

Berita Harian X