Khamis, 4 Ogos 2022 | 5:59am
Atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh Randhawa gagal melepasti ketinggian 2.10 meter pada Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander, Birmingham hari ini. - Foto BERNAMA.
Atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh Randhawa gagal melepasti ketinggian 2.10 meter pada Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander, Birmingham hari ini. - Foto BERNAMA.

Nauraj mengecewakan, tersingkir awal

BIRMINGHAM: Jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa mempamerkan satu lagi aksi menghampakan sehingga tersingkir awal pada saingan final lompat tinggi Sukan Komanwel 2022 di sini, sebentar tadi.

Dalam saingan di Stadium Alexander yang dipenuhi penonton itu, pemegang rekod kebangsaan berkenaan hanya mampu melakukan empat lompatan sebelum menjadi peserta pertama terkeluar daripada 13 bertanding.

Pada lompatan pertama Nauraj berjaya melepasi ketinggian 2.05 meter (m), sebelum gagal dalam tiga lompatan berturut-turut selepas itu membabitkan ketinggian 2.10m.

Beliau yang kini berpangkalan di Jerman adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m yang dilakukannya pada 2017

Ketika ditemui selepas itu, pemenang pingat perak Sukan SEA 2021 di Hanoi, memaklumkan menghadapi masalah kecederaan pada tumit.

"Saya tidak dapat nak bercakap banyak ketika ini. Saya sudah menjalani latihan bersungguh-sungguh dan mengadakan persiapan baik bagi temasya ini.

"Saya berasa sangat baik sebelum temasya, tapi saya tak dapat nak melakukan lompatan. Tumit kaki saya sangat sakit," katanya yang sudah menyertai tiga temasya Sukan Komanwel sejak 2014 di Glasgow.

"Saya sangat kecewa dan berasa amat marah. Anda pun tahu saya boleh terima kegagalan tapi Sukan Komanwel ini hanya diadakan empat tahun sekali," katanya.

Nauraj kemudian berlalu pergi sebelum dilihat melutut berhampiran pintu keluar di kawasan zon campuran dengan keadaan sebak.

Dia kemudian diberikan sebotol air oleh seorang pegawai penganjur selain cuba menenangkanya.

Pada pertengahan bulan lalu, Nauraj mengakhiri penampilan keduanya di Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon, Amerika Syarikat (AS), dengan aksi mengecewakan apabila gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan

Berita Harian X