Rabu, 3 Ogos 2022 | 11:29am
Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengharapkan Muhammad Azeem Fahmi dapat meneruskan momentum dalam acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi esok.
Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengharapkan Muhammad Azeem Fahmi dapat meneruskan momentum dalam acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi esok.

Amir harap Azeem lakar kejutan esok

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengharapkan Muhammad Azeem Fahmi dapat meneruskan momentum dalam acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi esok.

Amir berkata, secara jujurnya dia berpuas hati dengan pencapaian tempat kelima diraih Azeem dalam acara 100m pagi tadi dan mengharapkan akan ada 'kejutan' dilakukan anak didiknya itu untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200m di Stadium Pascual Guerrero Olympic nanti.

"Syukur Alhamdulillah. Azeem berjaya menempatkan diri di tempat kelima dalam saingan akhir dan secara jujurnya, saya berpuas hati dengan pencapaiannya.

"Saya harap dia mengekalkan momentum dan terus bersaing dengan atlet terbaik dunia. Secara jujurnya, saya berharap dia dapat layak ke saingan akhir dan berkemungkinan ada 'bonus' tambahan... mengharapkan bonus tambahan memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 200m.

"Jadi saya mengharapkan Azeem kekal fokus, tenang, berusaha dan memberikan yang terbaik dan mencapai impiannya. Saya juga mohon kepada rakyat Malaysia, memberikan sokongan padu serta mendoakan Azeem supaya terus cemerlang dan berjaya di masa akan datang," kata Amir dalam satu hantaran video.

Rekod kebangsaan bagi acara 200m pada ketika ini dipegang Russel Taib yang melakukan 20.77s di Kejohanan Queensland Track Classic di Brisbane, Australia pada Mac 2019.

Pada saingan final 100m pagi tadi, Azeem mencatatkan masa 10.14 saat (s) untuk berada di tempat kelima daripada lapan peserta selepas melakukan 10.19s di separuh akhir sebelum itu.

Semalam, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Berita Harian X