Rabu, 3 Ogos 2022 | 12:52am
Aksi atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin ketika peringkat saingan kelayakan pada Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander, Birmingham hari ini - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Aksi atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin ketika peringkat saingan kelayakan pada Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander, Birmingham hari ini - Foto NSTP/Aswadi Alias.

Irfan layak ke final lempar cakera

BIRMINGHAM: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menampilkan aksi terpuji untuk mengesahkan tempat ke pentas final pada Sukan Komanwel 2022 di sini hari ini.

Pada aksi kelayakan Kumpulan A di Stadium Alexander di sini, jaguh negara berusia 26 tahun itu merekodkan balingan sejauh 57.93 meter untuk berada di kedudukan keempat daripada lapan peserta.

Atlet Jamaica, Traves Smikle menduduki tempat teratas dalam aksi Kumpulan A selepas mencatat lemparan sejauh 64.90m, diikuti Alex Rose dari Samoa di tempat kedua dengan catatan 63.20m manakala tempat ketiga adalah atlet Scotland, Nicholas Percy (60.68m).

Pada aksi kelayakan membabitkan dua kumpulan itu, hanya 12 atlet merekodkan balingan terbaik layak ke pentas final pada Khamis (4 Ogos).

Muhammad Irfan adalah pemegang rekod kebangsaan dengan lemparan 62.55m di Austria pada 2017. Beliau juga adalah pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2017.

Pengurus pasukan olahraga negara, M Iyaru menyifatkan kejayaan Muhammad Irfan mara ke peringkat akhir adalah pencapaian yang membanggakan.

"Bukan mudah perlu bersaing dengan ramai jaguh dunia di sini. Saya berharap pencapaian Irfan layak ke final ini memberi beliau semangat pada Khamis ini," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X