Selasa, 2 Ogos 2022 | 10:02am
Jonah Chang Rigan. - Foto IG
Jonah Chang Rigan. - Foto IG

Jonah, Elvin cemerlang di Cali

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan terarah kepada Muhammad Azeem Fahmi yang memecahkan rekod kebangsaan, dua lagi atlet muda negara, Jonah Chang Rigan dan Elvin Yap Zhi Yan turut cemerlang pada hari pertama Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi tadi.

Jonah, 19, yang beraksi dalam acara lontar peluru cemerlang apabila melangkah ke peringkat akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik di pusingan kelayakan.

Elvin Yap Zhi Yan. - Foto IG
Elvin Yap Zhi Yan. - Foto IG

Atlet berasal dari Sarawak itu merekodkan balingan dengan catatan 18.97 meter (m) - kelima terbaik dalam saingan kelayakan Kumpulan B.

Catatan itu juga adalah yang kelima terbaik keseluruhan untuk saingan pusingan kelayakan yang dipecahkan kepada dua kumpulan membabitkan penyertaan seramai 26 atlet.

Sementara itu, Elvin yang beraksi dalam acara 110m berpagar melangkah ke peringkat separuh akhir selepas mengakhiri saringan tujuh di kedudukan keempat dengan catatan 13.91 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik miliknya sebelum ini, 14.02s.

Kedua-dua atlet negara itu akan meneruskan aksi masing-masing yang dijadual berlangsung, awal pagi esok.

Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Berita Harian X