X
Sabtu, 30 Julai 2022 | 5:30pm
Dek Wan (kanan) mahu buru pingat di Solo untuk dihadiahkan kepada Jeganathan (kiri).
Dek Wan (kanan) mahu buru pingat di Solo untuk dihadiahkan kepada Jeganathan (kiri).

Dek Wan mahu cari pingat untuk Jeganathan

KUALA LUMPUR: Selepas pulang dengan tangan kosong di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tahun lalu, atlet olahraga para, Mohamad Ridzuan Puzi tekad untuk menebus kekecewaan berkenaan dengan memenangi dua pingat emas di Sukan Para ASEAN Solo yang disingkap, hari ini.

Di Solo, pemenang emas Paralimpik Rio 2016 itu akan beraksi dalam dua acara kegemarannya iaitu 100 dan 200 meter (m) pecut kategori T36 (cerebral palsy).

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Ridzuan hanya meraih emas dalam acara 200m tetapi tidak menyertai saingan 100m kerana masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami demam denggi sebelum itu.

Selepas lima tahun menunggu untuk beraksi dalam acara riben biru di Sukan Para ASEAN, Ridzuan tekad untuk mendominasi kedua-dua acara yang akan disertainya.

"Untuk di Solo kali ini, saya mahu bawa balik dua pingat emas, sebab saya nak tebus balik kekalahan saya tahun lalu, pulang dengan tangan kosong dari Tokyo.

"Jika saya berjaya lakukannya, saya nak dedikasikan pingat emas itu kepada bekas jurulatih saya, R Jeganathan yang selama ini banyak bantu saya," kata Ridzuan yang kini dilatih oleh Ahamd Rafee Arifin, yang ambil alih tugas berkenaan selepas khidmat Jeganathan tidak disambung oleh Majlis Sukan Negara (MSN) Februari lalu.

Ridzuan yang lebih mesra disapa Dek Wan juga mengakui bahawa aksi di Solo bukan penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu biarpun umurnya sudah mencecah 34 tahun.

"Dari sudut persaingan, saya sedar saya sedikit berumur berbanding pesaing saya, tetapi itu bukan halangan, ada yang saya pernah tewaskan, dan ada yang saya tidak pernah berjumpa langsung.

"Sebelum hadir ke sini saya alami kecederaan di bahagian hamstring, namun ia bukan sesuatu yang serius dan saya rasa ia tidak akan jejaskan misi besar saya di Solo ini," katanya.

Berita Harian X