X
Sabtu, 30 Julai 2022 | 11:42am
Kuartet 4x100meter (m) wanita meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Stadium Bandar Sisaket semalam. - Foto NSTP
Kuartet 4x100meter (m) wanita meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Stadium Bandar Sisaket semalam. - Foto NSTP

Olahraga lubuk emas negara di AUG 2022

UBON RATCHATHANI: Skuad olahraga mengganas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 selepas menghadiahkan sembilan pingat emas sekali gus menjadi lubuk emas buat kontinjen negara.

Kejayaan mengutip sembilan emas ketika saingan belum ditutup menyaksikan mereka mengatasi sasaran sembilan pingat emas yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini.

Hari pertama menyaksikan dua emas berjaya dituai menerusi dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Azreen Nabila Alias dan Kamal Farhan A Rajman masing masing dalam acara 100 meter (m) wanita dan lontar peluru.

Kecemerlangan skuad negara diteruskan dengan tiga lagi emas pada hari kedua yang disumbangkan Sadat Marzuki Ajisan dalam acara baling tukul besi, Mohamad Ezlan Dahalan (lompat tinggi) serta Lukman Hakim Ramlan (lompat jauh).

Selepas hari ketiga semalam, mereka meraih pungutan emas terbanyak dengan empat masing masing menerusi Savinder Kaur Jogindr Singh (800m wanita), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m lelaki), Daren James (3,000m lari berhalangan) dan kuartet 4x100m wanita.

Kuartet 4x100m wanita yang dibarisi ratu pecut AUG 2022, Azreen, Nor Sarah Hadi, M Darshini dan Nur Aishah Rofina Aling merakam masa terpantas 47.18s untuk mengetepikan saingan daripada tuan rumah dan Laos.

Namun, harapan untuk menyaksikan satu lagi pingat emas menerusi acara lompat bergalah tidak kesampaian apabila Nor Sarah yang juga pemenang emas acara terbabit di Sukan SEA Vietnam meraih pingat perak menerusi catatan 3.70m.

Pengurus skuad olahraga, Malik Tobias mengakui semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet olahraga menjadi pemangkin sehingga mereka berjaya mengatasi sasaran yang diletakkan.

"Ini satu elemen kejutan apabila kita melepasi sasaran lebih awal sebelum acara olahraga melabuhkan tirai.

"Kita mendapat sembilan emas dan kita jangkakan dua lagi emas pada hari terakhir (semalam),"Momentum berterusan yang ditunjukkan ini adalah di luar jangkaan namun segalanya atas usaha atlet itu sendiri yang berjuang habis-habisan," kata Malik.

Berita Harian X