X
Khamis, 28 Julai 2022 | 2:54pm
Pengurus pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy (tiga kanan) bersama atlet kebangsaan di Birmingham.
Pengurus pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy (tiga kanan) bersama atlet kebangsaan di Birmingham.

'Kalau mampu layak ke final, ia satu pencapaian besar'

BIRMINGHAM: "Harapan atau sasaran saya ada dua terhadap mereka. Pertama, saya harap mereka mampu mencatatkan pencapaian terbaik peribadi masing-masing pada temasya ini dan kalau berupaya memecahkan rekod ia adalah lebih baik.

"Kedua, saya harap mereka juga mampu layak hingga ke final. Kalau ini dapat dilakukan, pada saya ia satu pencapaian besar kerana atlet negara sudah berada pada kedudukan lapan terbaik daripada 72 negara bertanding," .

Itulah luahan pengurus pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy ketika diminta mengulas mengenai sasaran terhadap tujuh atlet yang membawa cabaran negara pada Sukan Komanwel 2022 di sini.

Tujuh atlet berkenaan adalah adalah Nauraj Singh Randhawa bagi acara lompat tinggi, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Russel Alexander Nasir Taib (200m), Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi), Andre Anura (lompat kijang), Shereen Samson Vallabouy (400m) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi).

Mereka ke sini dengan disertai dua jurulatih iaitu Ahmad Firdaus Salim dan Gu Yuan

"Kalau ada di antara atlet kita ini layak hingga ke final, nama negara dan Jalur Gemilang sudah pasti akan terkenal serta berkibar megah di Stadium Alexander nanti,".

Iyaru yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkata secara keseluruhannya semua atlet terbabit sudah bersedia untuk membawa cabaran negara pada saingan yang dijadualkan bermula pada Selasa ini.

Katanya, kecuali Russel yang hanya akan tiba di sini, hari ini dari Australia, semua enam atlet lain sedang giat menjalani latihan berhampiran perkampungan atlet di Universiti Birmingham.

"Mesyuarat pengurus pasukan hanya akan diadakan pada 1 Ogos. Selepas itu, baru kita tahu dengan lebih lengkap mengenai pertandingan," katanya.

Mengenai peluang meraih pingat, Iyaru berkata berdasarkan prestasi semasa, Irfan dan Jackie yang meraih emas pada temasya Sukan SEA di Hanoi, baru-baru ini dilihat berpotensi berbuat demikian.

Berita Harian X