X
Selasa, 26 Julai 2022 | 7:02pm
Azeem dilabel sebagai remaja keempat terpantas Asia dalam acara 100 dan 200 meter.
Azeem dilabel sebagai remaja keempat terpantas Asia dalam acara 100 dan 200 meter.

Azeem keempat terpantas Asia

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun Di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos ini selaku remaja keempat terpantas Asia dalam acara 100 meter (m) dan 200m.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, berdasarkan catatan musim 2022, atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita, merupakan yang terpantas dengan catatan 10.16 saat (s) manakala jaguh Thailand berusia 16 tahun, Puripol Boonson, merekodkan masa 10.19s di kedudukan kedua.

Ketiga terpantas adalah pelari China, Wang Shuang dengan masa 10.23s dan Muhammad Azeem berusia 18 tahun di kedudukan keempat dengan catatan 10.28s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers yang berlangsung bulan lepas.

Dalam acara 200m, Booson merupakan yang terpantas selepas merakam masa 20.19s, diikuti atlet Korea Selatan, Son Ji-won, 19, (20.80s), Yan Haibin, 19 dari China (20.88s) dan Muhammad Azeem dengan catatan 20.89s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Sarawak di Kuching, bulan ini.

Muhammad Amir berkata sasaran Muhammad Azeem yang akan beraksi dalam 100m dan 200m di Cali adalah mara ke final 100m dan untuk berada dalam kelompok pelumba di pentas akhir anak buahnya perlu mencatat masa di bawah 10.30s.

Beliau berkata dengan rekod 10.28s yang dicipta baru-baru ini, tidak mustahil juga untuk Muhammad Azeem membuat kejutan termasuk memecahkan rekod kebangsaan di Cali.

"Apabila di final apa yang berlaku sama ada menang pingat atau cipta rekod, itu dianggap sebagai bonus. Sasaran terdekat adalah melayakkan diri ke final dan tidak mustahil beliau dapat melakukannya.

"Sebenarnya tidak mustahil kalau berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti menang pingat, tidak kiralah apa warna sekali pun," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Namun, walaupun Muhamamd Azeem kini berada pada tahap terbaiknya, Muhammad Amir berkata semuanya bergantung ke atas keadaan anak buahnya itu ketika berada di sana apabila terpaksa cepat menyesuaikan diri selepas mengharungi perjalanan yang jauh.

"Yang paling memberi kesan adalah dari aspek 'jet lag' (kelesuan), perjalanan agak jauh, memakan masa lebih kurang 48 jam, jadi saya lebih risau mengenai pemulihan beliau daripada 'jet lag', katanya.

Beliau berkata di Cali, pelari tumpuan dalam acara 100m adalah Letsile Tebogo dari Botswana yang berusia 19 tahun selepas muncul satu-satunya remaja yang berlari di bawah 10s pada musim ini dengan catatan 9.94s. Muhammad Azeem ke-30 dalam ranking remaja terpantas dunia.

Selain Muhammad Azeem, tiga lagi atlet remaja negara yang berpeluang memperagakan kehebatan di Cali adalah atlet 110m lari berpagar lelaki, Elvin Yap, Jonah Chang (lontar peluru lelaki) dan Muhammad Shah Sholihin dalam acara lompat kijang. - BERNAMA

Berita Harian X