X
Ahad, 24 Julai 2022 | 7:00pm
Lyles mengoyakkan bajunya selepas melintasi garisan penamat di Hayward Field, Eugene.
Lyles mengoyakkan bajunya selepas melintasi garisan penamat di Hayward Field, Eugene.

Lyles lebih suka jadi pempengaruh

SELEPAS Noah Lyles mengekalkan gelaran dunia 200 meter dalam masa yang begitu menakjubkan hingga mengatasi catatan pelari senegaranya dari Amerika Syarikat (AS), Michael Johnson pada temasya Sukan Olimpik 1996, dia mengoyakkan jaketnya seperti Incredible Hulk.

Kemudian dia menyasarkan satu matlamat baharu iaitu mahu menjadi pempengaruh global untuk membantu melonjakkan sukan olahraga ke tahap lebih tinggi.

Jika ada sesiapa mampu melakukannya, ia adalah Lyles. Dia bukan saja mencatat 19.31 saat (s) untuk muncul atlet ketiga terpantas 200m dalam sejarah, namun dia mempunyai personaliti untuk melonjakkan sukan diceburinya.

Ketika pelari pecut berusia 25 tahun itu melintasi garisan penamat di Hayward Field, Eugene, catatan awal yang terpancar adalah 19.32s, masa yang sama dengan catatan Johnson pada Olimpik Atlanta 1996.

"Saya tidak mahu ia tercatat 19.32," kata Lyles. "Saya mahukan catatan masa sendiri. Tiada siapa mahu berkongsi rekod. Saya hanya berharap catatan itu berubah.

"Kemudian saya mendengar orang ramai berteriak. Saya lihat ke arah skrin gergasi dan ia menunjukkan 19.31 jadi saya terlalu gembira."

Salah seorang yang pertama mengucapkan tahniah kepada Lyles adalah Johnson, yang menjadi pengulas bersama BBC di Eugene.

"Apabila Michael mengucapkan tahniah kepada saya, saya tergamam," kata Lyles. "Kami pernah chatting di Twitter tetapi saya tidak pernah berinteraksi dengannya. Saya berasakan ia seperti satu generasi bertemu satu lagi generasi."

Lyles, yang kecewa selepas hanya meraih pingat gangsa pada Olimpik Tokyo 2020, membantu AS menguasai kedudukan 1-2-3 dengan Kenny Bednarek (19.77) dan pelari berusia 18 tahun Erriyon Knighton (19.80) bertarung untuk perak dan gangsa.

Pasukan olahraga lelaki AS meraih kejayaan 1-2-3 kali kedua di Eugene selepas Fred Kerley, Marvin Bracy dan Trayvon Bromell mendominasi acara 100m.

Apabila ditanya sama ada keputusan sebegitu mampu menyelamatkan sukan itu, Lyles menetapkan perancangannya.

"Sejak kebelakangan ini saya sudah pergi menghadiri Met gala, Terbuka AS, melakukan kolaborasi dan turut menyertai minggu fesyen Paris," katanya.

"Saya tidak perlu dilihat sebagai atlet olahraga. Saya fikir saya perlu menjadi seorang pempengaruh."

Dia turut mengingatkan atlet lain mempromosikan sukan itu boleh membantu mengembungkan dompet mereka.

"Syarikat kasut menggalakkan anda untuk mempergiatkan aktiviti media sosial," katanya. "Setiap kali anda menandatangani kontrak, mereka minta kita siarkan di media sosial. Awalnya saya fikir kerjaya saya adalah untuk berlari. Tidak, tugas anda adalah menjual kasut. Lebih banyak anda melakukannya, lebih banyak mereka akan bayar anda," tambahnya.

Berita Harian X