X
Ahad, 24 Julai 2022 | 1:05pm
Lydia kini bertarung nyawa akibat kanser payudara tahap 4.
Lydia kini bertarung nyawa akibat kanser payudara tahap 4.

Lydia de Vega bertarung nyawa

KUALA LUMPUR: Pada Sukan SEA 1981, atlet dari Filipina berusia 17 tahun, Lydia de Vega berlari laksana kijang dan memukau jutaan penyokong.

Filipina memenangi acara 200 meter (m) dan 400 (m) menerusi larian derasnya yang menjadi batu asas untuk dia memecahkan rekod sekali gus menjadi wanita terpantas Asia.

Segala yang didamba oleh atlet olahraga Asia ada pada dirinya - kebijaksanan, bakat besar untuk menyinar di pentas dunia, atlet muda yang berpotensi serta model ikutan untuk kanak kanak.

Dia merangkul lebih 40 pingat emas di arena antarabangsa sepanjang 15 tahun kariernya sebagai atlet dan pencapaian ini hampir pasti tidak dapat dipintas oleh mana mana atlet di benua ini.

Namun pada usia 57 tahun, De Vega kini mengharungi perlumbaan paling sukar dalam hidupnya apabila berada dalam keadaan kritikal susulan komplikasi kanser payudara tahap 4.

Perkembangan itu diumumkan anaknya yang juga pemain bola tampar, Stephanie Mercado menerusi laman Instagramnya, Rabu lalu selepas merayu bantuan kewangan untuk rawatan ibunya.

Dia didiagnos dengan penyakit itu pada 2018 dan sudah menjalani beberapa prosedur sejak beberapa tahun lalu termasuklah pembedahan otak.

Menurut beberapa laporan, De Vega yang bekerja sebagai jurulatih olahraga kanak-kanak di Singapura berada di sebuah hospital di Manila dalam keadaan kritikal.

Tiada lagi bintang pecut buat Filipina sejak dominasi Mona Sulaiman dalam pentas olahraga Asia pada awal 1960an dan pada awal 1981, komuniti olahraga Asia dan media menyifatkannya sebagai pengganti kepada legenda pecut Taiwan, Chi Cheng.

Sekitar era 80an, pertembungan antara De Vega dan atlet dari India, PT Usha sentiasa hangat dan mencuri tumpuan peminat sukan.

Selepas merangkul pelbagai kejayaan, dia berehat seketika pada 1989 dan 1991 namun kembali ke Sukan SEA Manila 1991 dengan sambutan yang gilang gemilang.

Percy Seneviratne dalam bukunya yang bertajuk 'Detik Emas Sukan SEA 1959-1991' merujuk kepada wartawan Filipina yang berkata 'kalau Lydia tidak menang, akan berlaku rusuhan di sini."

Lydia memastikan tiada rusuhan yang berlaku apabila dia mendominasi acara 100m itu mengatasi rakan senegara, Elma Muros dan atlet dari Malaysia, G Shanti.

Kini, semua orang mendoakan kesembuhan buat Vega dan berharap kemenangan sekali lagi akan menjadi miliknya.

Berita Harian X