X
Jumaat, 22 Julai 2022 | 6:10pm
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Jackie harap penantiannya berakhir di Birmingham

KUALA LUMPUR: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong berharap penantiannya selama tiga tahun untuk memperbaharui rekod peribadi yang juga rekod kebangsaan bakal berakhir apabila dia beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Atlet berusia 30 tahun itu memegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22 meter (m) ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Malaysia pada 2019.

Bagaimanapun, usahanya selepas itu untuk memperbaharui catatan berkenaan gagal disebabkan beberapa faktor terutama pandemik COVID-19 yang menyaksikan dia tidak dapat menyertai kejohanan sama di dalam mahupun luar negara.

"Sasaran utama saya adalah untuk cuba layak ke final (di Sukan Komanwel). Selain itu, sudah pasti saya mahu memecahkan rekod kebangsaan milik saya sendiri.

"Sudah tiga tahun saya cuba untuk memperbaharui rekod kebangsaan milik saya tetapi ia masih tidak dapat dicapai. Harap ia dapat dilakukan di Birmingham," katanya yang bakal membuat penampilan ketiga pada temasya kali ini.

Jackie berkata kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu menjadi tonik tambahan buat dirinya untuk menghasilkan keputusan terbaik di Birmingham nanti.

"Selepas Sukan SEA, saya dapat berehat selama dua minggu dan kemudian meneruskan persediaan untuk ke Birmingham selama dua bulan.

"Saya rasa persiapan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya dan saya sendiri berada pada prestasi terbaik untuk cuba memenuhi sasaran ditetapkan di Birmingham," katanya.

Berita Harian X