KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mengakhiri penampilan keduanya di Kejohanan Olahraga Dunia dengan aksi mengecewakan apabila gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan di Oregon, Amerika Syarikat (AS), lewat malam tadi.
Atlet berusia 30 tahun itu gagal melepasi ketinggian pertama yang ditetapkan dalam ketiga-tiga percubaannya sekali gus gagal melangkah ke pusingan akhir.
Nauraj yang berpangkalan di Jerman adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m yang dilakukannya pada 2017. Pada penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia di London pada 2017, dia berjaya merekodkan lompatan setinggi 2.26m tetapi gagal layak ke pentas final.
Nauraj turut mengalami kekecewaan ketika beraksi di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu apabila dia yang diletakkan sandaran bagi memenangi pingat emas terpaksa akur dengan meraih perak dengan catatan 2.18m.
Fokus pemenang emas tiga kali Sukan SEA itu kini beralih kepada persiapan bagi menghadapi Sukan Komanwel Birmigham 2022 yang akan bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Kegagalan Nauraj di Oregon menyaksikan tumpuan kini terarah kepada atlet 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang layak atas tiket wild card.
Shereen yang berpangkalan di AS dan mempunyai catatan peribadi terbaik 52.8 saat dalam acara itu akan memulakan aksinya esok.