Isnin, 11 Julai 2022 | 4:48pm
 Atlet 400 meter wanita negara, Shereen Samson Vallabouy pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, 12 Mac lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.
Atlet 400 meter wanita negara, Shereen Samson Vallabouy pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, 12 Mac lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.

Shereen tekad tampil prestasi terbaik olahraga dunia, Komanwel

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy tekad untuk menampilkan prestasi terbaik apabila membuat penampilan sulung pada Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat (AS) bermula Jumaat hingga 24 Julai ini.

Shereen yang berpangkalan di AS diberikan slot `wild card' untuk beraksi pada kejohanan berprestij itu dan mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan dengan misi melakukan catatan masa lebih baik berbanding apa yang pernah dicatatkan sebelum ini.

"Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dan berharap dapat membuat yang terbaik untuk negara dengan sasaran untuk memecahkan catatan terbaik peribadi saya. Selepas Kejohanan Dunia ini fokus saya akan terarah ke Sukan Komanwel Birmingham pula.

"Dua kejohanan itu antara yang paling saya nantikan terutama selepas Sukan Asia di China ditangguhkan tahun depan," katanya yang sedang menuntut dalam bidang rekreasi dan pelancongan di Winona State University sejak 2019.

Nama pelari berusia 24 tahun itu mula menjadi sebutan selepas kejayaannya memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, 12 Mac lalu dengan catatan 53.79 saat (s).

Lebih membanggakan catatan berkenaan turut memecahkan rekod kebangsaan 54.58s milik Noraseela Mohd Khalid yang dicatat 16 tahun lalu di Jerman.

Mengulas mengenai persiapannya menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel yang akan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos, Shereen mengakui jadualnya agak padat kerana perlu membahagikan masa antara pelajaran dan latihan.

"Jadual saya agak padat juga dengan pelajaran dan latihan. Namun, itu bukan satu masalah. Saya akan menjalani latihan di sebeleh petang dengan masa diperuntukkan adalah empat kali seminggu.

"Setiap minggu akan ada empat kali sesi latihan dan dua hari untuk sesi pemulihan. Hari rehat saya hanyalah pada hari Sabtu saja," kata anak bongsu kepada bekas bintang olahraga negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar itu.

Berita Harian X