Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:21am
Azeem gembira selepas memperolehi keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh. - NSTP/L Manimaran
Azeem gembira selepas memperolehi keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh. - NSTP/L Manimaran

Perak akan bantu jika Azeem ke luar negara

SERI ISKANDAR: Kerajaan Negeri Perak akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sekiranya mahu menyambung pengajian di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau juga menggalakkan jika Azeem memilih melanjutkan pelajarannya ke luar negara kerana ia membantu mengembangkan bakatnya sekali gus diri dan pelajaran remaja itu.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk Azeem melanjutkan pelajaran serta meneruskan latihan di Amerika Syarikat (AS) atau di dalam negara bergantung kepada dirinya sendiri.

"Kita memang lebih menjurus untuk dia pergi ke AS kerana melihat dalam konteks pembangunan sukan yang boleh membantu meningkatkan lagi pencapaiannya (kerana akan memperoleh pertandingan lebih kompetitif dengan pesaing baru).

"Kita sentiasa beri komitmen dengan perkara ini dan bersedia untuk membantu (tetapi) kita tidak menjanjikan satu amaun dan sebagainya. Kita akan bincang dengannya tentang apa yang perlu dan mampu kita bantu sekiranya Azeem memilih melanjutkan pengajiannya di luar negara.

"Malah, Majlis Sukan Negara (MSN) Perak juga mengambil berat tentang atlet khususnya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, di sini.

Beliau berkata, kesediaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan atlet berusia 18 tahun yang mendapat jolokan 'Usain Bolt Malaysia' itu mengikuti program pengajian di universiti berkenaan juga adalah peluang yang baik untuk perkembangan sukan dan pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed (lima dari kiri) pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di Seri Iskandar. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed (lima dari kiri) pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di Seri Iskandar. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Tapi dalam masa sama, kerana ada pilihan yang lebih baik untuk perkembangan sukan, diri dan pelajarannya saya berpendapat AS adalah satu pilihan yang sesuai.

"Bagaimanapun apa saja keputusan Azeem nanti saya yakin yang terbaik untuk dirinya," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Azeem lebih cenderung untuk melanjutkan pelajaran serta meneruskan latihan di AS.

Bapanya, Mohd Fahmi dilaporkan berkata, anaknya masih memikirkan sama ada menyertai universiti tempatan atau luar negara.

Azeem meraih keputusan cemerlang 6A dalam SPM 2021, sekali gus menyaksikannya menerima beberapa peluang untuk melanjutkan pelajaran seperti UPSI yang menawarkannya pengajian diploma dan biasiswa, selain dua tawaran di luar negara iaitu Universiti Winona dan Minnesota.

Berita Harian X