KUALA LUMPUR: Keputusan cemerlang yang diraih pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya yang dibatalkan penyertaan dalam acara 100 meter (m) ketika Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan lalu.
Pelari berusia 18 tahun itu membuktikan jadual padat sebagai atlet tidak menghalang dirinya untuk turut berjaya dalam pelajaran apabila 'merekodkan' keputusan 6A daripada sembilan mata pelajaran yang diambilnya.
Malah, dia yang diberi julukan sebagai 'Usain Bolt Malaysia' memasang impian besar apabila berharap dapat melanjutkan pengajian di Winona State University Minnesota, Amerika Syarikat, universiti yang sama di mana seorang lagi pelari Malaysia, Shereen Samson belajar ketika ini.
"Saya memang tidak jangka langsung boleh dapat 6A. Saya hanya sasarkan 4A tetapi keputusan yang diperoleh hari ini memang di luar jangkaan.
"Sebab masa saya nak ambil SPM itu, dua kali saya terpaksa keluar sekolah untuk menyertai dua kejohanan di KL (Kuala Lumpur), Kejohanan Malaysia GP (Grand Prix) dan KL All Comers.
"Alhamdulillah sangat, hasil usaha keras saya selama ini, saya dapat keputusan yang cemerlang," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat itu.
Keputusan cemerlang yang diraih dalam SPM itu jelas membakar semangat Azeem yang tekad untuk mengatasi rekod peribadi terbaiknya dalam acara 100m apabila beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Perak hujung minggu ini.
Catatan terbaik Azeem dalam acara itu sebelum ini adalah 10.37 saat (s) ketika melakukannya di KL All Comers, Mac lalu.
Sebelum penyertannya dalam acara 100m dibatalkan di Hanoi, Azeem berjaya membantu kuartet 4x100m lelaki negara yang turut dibarisi Haiqal Hanafi, Zulfiqar Ismail dan Arsyad Md Saat memenangi pingat perak dengan catatan rekod baharu kebangsaan 39.09s.