Isnin, 13 Jun 2022 | 9:07pm
Bekas Presiden KOM, Datuk SM Muthu selepas menghadiri pemilihan KOM di ibu negara, semalam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Bekas Presiden KOM, Datuk SM Muthu selepas menghadiri pemilihan KOM di ibu negara, semalam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Tugas Muthu belum selesai

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu akur dengan kekalahan mempertahankan jawatannya dan tidak mempunyai idea merebut jawatan nombor satu dalam badan induk itu pada masa depan.

Pada pemilihan semalam, Muthu gagal dalam usaha untuk mempertahankan jawatannya apabila tewas kepada bekas presiden, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam pertandingan satu lawan satu untuk menerajui KOM.

Walaupun akur dengan keputusan perwakilan, Muthu masih mempunyai satu tugas penting untuk diselesaikan dalam olahraga iaitu untuk menubuhkan semula Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 24 Mac lalu.

"Pendaftaran persatuan itu dibatalkan semasa kepimpinan saya. Jadi saya perlu menyelesaikannya dengan betul dan menyerahkannya kepasa jawatankuasa seterusnya. Kami telah menyerahkan semua laporan yang diperlukan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan menunggu jawapan mereka.

"Semoga masalah POS dapat diselesaikan supaya sukan olahraga Selangor kembali aktif semula tidak lama lagi. Selepas itu saya akan menyerahkan kepada ahli gabungan POS untuk memutuskan pemimpin seterusnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 18 April lalu, PJS Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan pendaftaran POS dibatalkan selepas krisis dalaman dan perebutan kuasa berlarutan antara kem Muthu dan bekas atlet Wilayah Persekutuan, Nur Hayati Karim.

Pada pemilihan KOM, Shahidan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, menang dengan majoriti empat undi selepas meraih 20 undi berbanding 16 diperoleh Muthu menerusi 36 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu semalam.

Selepas kekalahannya, Muthu berkata kini beliau mahu menumpukan masa bersama keluarga dan urusan peribadinya.

"Umur saya pun dah cecah 69 tahun, baik bagi peluang kepada orang lain, tak perlu orang yang kalah datang balik, itu bukan cara yang betul. Sebelum ini, saya hanya mahu pegang jawatan ini untuk satu lagi penggal sahaja, sudah putuskan untuk tidak bertanding pada penggal seterusnya," katanya.

Mengenai nasihatnya kepada atlet, katanya disiplin adalah aspek paling penting untuk menjadi atlet yang berjaya.

"Selepas itu kena ikut perancangan yang persatuan susunkan, kena bersabar dan tunjuk pencapaian yang baik secara konsisten demi negara dan bukan mengejar kepentingan individu," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X