Sabtu, 11 Jun 2022 | 6:46pm
Calon Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kanan) dan penyandang jawatan Presiden KOM, Datuk SM Muthu. Shahidan tampil dengan manifesto yang bakal dilaksanakan jika kembali menerajui KOM.
Calon Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kanan) dan penyandang jawatan Presiden KOM, Datuk SM Muthu. Shahidan tampil dengan manifesto yang bakal dilaksanakan jika kembali menerajui KOM.

Shahidan tampil manifesto pimpin KOM

KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan pucuk pimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) penggal 2022/2025 esok, calon bagi jawatan presiden, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tampil dengan manifesto yang bakal dilaksanakannya sekiranya kembali dipilih menerajui badan induk itu.

Lima teras utama manifesto yang ditampilkan Shahidan antaranya adalah penstrukturan pembangunan atlet, kebajikan, transisi dan prospek pasca kerjaya.

Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan itu turut akan merancang polisi pembangunan bakat di peringkat akar umbi seluruh negara selain menjalinkan kerjasama dengan semua pemegang taruh dalam merencana pelan transformasi olahraga.

Tidak cukup dengan itu, Shahidan turut berjanji akan menyediakan ekosistem yang konstruktif bagi menjadikan olahraga sebagai kerjaya yang stabil buat atlet.

Beliau juga akan mewujudkan kerangka perundangan yang memberikan perlindungan kepada atlet, jurulatih dan pegawai selain jaminan kepada pentadbiran yang cekap (good governance).

"Semua perancangan yang dibentangkan dalam manifesto itu membuktikan komitmen Shahidan dengan niat yang baik untuk membantu menyelamatkan sukan olahraga yang kini dianggap 'kritikal'.

"Saya percaya semua perwakilan akan berfikir dengan baik bagi memilih calon yang benar-benar layak untuk menjadi presiden," kata Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim yang memberi sokongan penuh kepada Shahidan.

Pemilihan esok menyaksikan Shahidan akan mencabar penyandang jawatan presiden, Datuk SM Muthu bagi merebut kerusi nombor satu KOM.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013/2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Karim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi difahamkan beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan. Namun belum ada pengumuman rasmi daripada KOM berhubung pencalonannya itu.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan di antara Datuk Fadzil A Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.

Bagi jawatan naib presiden, lima calon akan bersaing iaitu Syamsul Bani Abdullah, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Datuk Mark William dan Sallehuddin Satar.

Berita Harian X