Jumaat, 10 Jun 2022 | 5:01pm
Pekan anggap sukan olahraga negara kini ‘kritikal’.
Pekan anggap sukan olahraga negara kini ‘kritikal’.

Sukan olahraga 'kritikal'

KUALA LUMPUR: Siapapun yang dipilih menerajui kepimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) esok, individu berkenaan perlu melakukan transformasi menyeluruh bagi mengembalikan semula kecemerlangan sukan itu khususnya di peringkat Asia Tenggara.

Pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, berkata sukan olahraga ketika ini boleh dianggap 'kritikal' dengan fokus perlu segera diberikan untuk melaksanakan program pembangunan bagi mencari bakat-bakat baharu di semua peringkat.

"Untuk peringkat awal kita fokus untuk kembalikan kecemerlangan di peringkat Asia Tenggara dahulu, tidak perlu bercakap mengenai Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Kita tidak boleh terus membiarkan Vietnam dan Thailand mendominasi saingan di peringkat Asia Tenggara.

"Bagi tujuan itu, kita perlu memberi fokus kepada program pembangunan. KOM perlu menjalinkan semula kerjasama dengan MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

"Persatuan negeri juga perlu diberikan KPI (petunjuk prestasi utama) untuk mereka melaksanakan program pembangunan mereka. Jika semua pihak bekerjasama, ia akan menjadi lebih mudah untuk kita melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Pada masa sama, KOM juga perlu mengukuhkan kedudukan kewangan mereka supaya tidak terlalu bergantung kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan kerajaan. Kalau MSN sudah mengambil atlet untuk diletakkan dalam Program Podium dan sebagainya, jangan ingat tugas mereka sudah selesai.

"KOM sebaliknya perlu terus perhebatkan program pencarian bakat supaya kita tidak putus bakat-bakat baharu. Sukan olahraga adalah lubuk emas untuk kita di Sukan SEA, kita tidak boleh mengharapkan kepada beberapa atlet saja untuk mencapai kejayaan," katanya kepada BH Sukan.

Pemilihan pucuk pimpinan KOM bagi penggal 2022/2025, Ahad ini bakal menyaksikan penyandang jawatan presiden, Datuk SM Muthu akan dicabar Menteri Wilayah Persekutuan yang Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagi merebut kerusi nombor satu badan induk itu.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi difahamkan beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan namun belum ada pengumuman rasmi daripada KOM berhubung pencalonannya itu.

Mengulas lanjut, Pekan turut berharap kepimpinan baharu KOM nanti dapat memperbanyakkan lagi penganjuran kejohanan berprestij yang disifatkan sangat penting dalam menyemarakkan lagi pembangunan sukan olahraga negara.

"Jika boleh, jalinkan kerjasama dengan syarikat korporat yang boleh bagi sokongan kepada olahraga. Seperti dulu, kita ada kejohanan antara bank dan mungkin ia boleh diadakan semula.

"KOM juga perlu berusaha untuk membawa kejohanan antarabangsa ke Malaysia untuk kita menarik minat orang ramai khususnya murid sekolah untuk menceburi sukan olahraga," katanya.

Berita Harian X