Khamis, 9 Jun 2022 | 8:00pm
Shahidan janji olahraga kembali jadi lubuk emas di Sukan SEA.
Shahidan janji olahraga kembali jadi lubuk emas di Sukan SEA.

Shahidan janji pulihkan imej olahraga

KUALA LUMPUR: "Saya mahu menjadikan sukan olahraga kembali menjadi lubuk emas kontinjen Malaysia terutama di Sukan SEA."

Itu tekad Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sekiranya dipilih untuk kembali menerajui Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada pemilihan pucuk pimpinan badan induk berkenaan yang dijadual berlangsung, Ahad ini.

Malah, beliau juga mahu memulihkan imej sukan olahraga negara dengan memastikan lebih banyak kejayaan diraih di peringkat antarabangsa.

Katanya, kelemahan yang timbul dalam badan induk olahraga negara ketika ini menyebabkan program pembangunan atlet tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Saya bukannya baru dalam olahraga ini dan sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan berkenaan yang menyaksikan prestasi atlet sejak kebelakangan ini agak merosot.

"Jika diikutkan sepatutnya Malaysia membawa pulang lapan pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam baru-baru ini namun hanya mampu membawa pulang lima emas.

"Perkara utama yang perlu ditekankan adalah pembangunan atlet dengan memastikan mereka mampu meraih kejayaan di peringkat lebih tinggi," katanya.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini dicalonkan oleh POAPs bagi merebut kerusi nombor satu KOM sekali gus mencabar penyandang ketika ini, Datuk SM Muthu yang turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013/2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi difahamkan beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan namun belum ada pengumuman rasmi daripada KOM berhubung pencalonannya itu.

Berita Harian X