Rabu, 8 Jun 2022 | 7:42pm
Datuk SM Muthu (kiri) dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Datuk SM Muthu (kiri) dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan sah cabar Muthu

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersedia untuk kembali menerajui Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) jika diberi kepercayaan oleh perwakilan pada pemilihan yang akan berlangsung Ahad ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini dicalonkan oleh POAPs bagi merebut kerusi nombor satu KOM sekali gus mencabar penyandang ketika ini, Datuk SM Muthu yang turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu.

"Kalau ada sokongan saya setuju," kata Shahidan menerusi khidmat pesanan ringkas kepada BH Sukan ketika ditanya mengenai pemilihan jawatan Presiden KOM bagi penggal 2022/2025.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi difahamkan beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan namun belum ada pengumuman rasmi daripada KOM berhubung pencalonannya itu.

Sementara itu, Karim yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), berkata pihaknya memberi sokongan penuh kepada Shahidan untuk kembali memimpin KOM selain menyifatkan beliau mampu menyelamatkan sukan olahraga negara yang kini mengalami kemerosotan prestasi.

"Malah, atlet dan jurulatih turut mahukan Datuk Seri Shahidan kembali menjadi presiden. Dengan pengalamannya sebagai presiden sebelum ini, saya percaya beliau mampu membawa sukan olahraga negara ke peringkat lebih baik," katanya.

Berita Harian X