Isnin, 6 Jun 2022 | 7:00pm
Gambar fail, Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Datuk SM Muthu. - Foto NSTP
Gambar fail, Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Datuk SM Muthu. - Foto NSTP

Karim dakwa Muthu main taktik kotor

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim mendakwa Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu menyalahgunakan kuasa menjelang pemilihan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk kebangsaan itu, 12 Jun ini.

Karim yang juga bekas presiden KOM sebelum ini mendakwa, penolakan pencalonan bekas atlet wanita Selangor era 90-an, Nurhayati Karim untuk bertanding jawatan naib presiden dilakukan secara menyalahi undang-undang oleh Pegawai Pemilihan Jawatankuasa, Datuk V Subramaniam dan Muthu sendiri atas kepentingan peribadi.

"Sebagai calon, Nurhayati sudah mendapatkan nasihat perundangan dan mengeluarkan satu surat guaman bagi mendapatkan semula pencalonannya sebagai naib presiden dalam AGM KOM nanti. "Sebagai presiden POP, kami begitu kecewa dengan sikap diskriminasi Datuk Muthu kerana tidak berbincang dengan ahli majlis selain langsung tidak memberi peluang kepada POP mendapatkan penjelasan.

"Kesemua salah laku itu, bakal meletakkan KOM dalam risiko perundangan dan oleh itu, semua ahli gabungan harus bersama-sama dan mengeluarkan pendapat masing-masing terhadap salah laku presiden KOM ketika ini," kata Karim dalam satu kenyataan.

Bekas atlet wanita Selangor era 90-an, Nurhayati Karim. - Foto Ihsan Nurhayati Karim
Bekas atlet wanita Selangor era 90-an, Nurhayati Karim. - Foto Ihsan Nurhayati Karim

Karim turut menjelaskan beberapa salah laku yang dilakukan Muthu, antaranya melantik Pegawai Pemilihan Jawatankuasa secara tidak berperlembagaan dan pemeriksa tanpa kelulusan ahli majlis.

Selain itu, Karim turut mendakwa Muthu menyalahgunakan kuasa dalam pemilihan Pegawai Pemilihan Jawatankuasa dan Pemeriksa yang memihak kepada satu pihak saja.

Sebelum ini, pencalonan Nurhayati ditolak berdasarkan klausa 8.7.1 Perlembagaan KOM yang menyatakan: "Pada AGM di mana pemilihan pemegang jawatan diadakan, calon mestilah pemegang jawatan semasa kepada ahli gabungan, kecuali calon untuk jawatan presiden, yang terbuka kepada sesiapa yang dicadangkan oleh ahli gabungan.

"Kesemua pencalonan hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli gabungan yang berkenaan dengan pengesahan penerimaan oleh calon itu dan dihantar kepada Pengurus Besar KOM sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh AGM yang ditetapkan."

Berita Harian X