Jumaat, 3 Jun 2022 | 6:13pm
Gambar fail - bekas atlet Selangor era 1990an, Nurhayati Karim.
Gambar fail - bekas atlet Selangor era 1990an, Nurhayati Karim.

Nurhayati tak tanding, sokong Shahidan jadi presiden

KUALA LUMPUR: Nurhayati Karim mengesahkan menolak pencalonan bagi merebut jawatan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan sebaliknya memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Shahidan Kassim untuk dipilih memimpin badan induk itu.

Keputusan Nurhayati yang juga bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an itu menyaksikan kini persaingan satu lawan satu bagi merebut kerusi nombor satu KOM antara penyandang, Datuk SM Muthu dengan Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pada pemilihan 12 Jun ini.

Nurhayati sebelum ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama yang dicalonkan untuk jawatan presiden KOM selepas menerima pencalonan daripada Persatuan Olahraga Perak (POP).

Bagaimanapun selepas kertas percalonan dibuka pada 1 Jun lalu, beliau memutuskan untuk mengundur diri.

"Nama saya dicalonkan lebih awal sebelum yang lain-lain namun selepas Datuk Seri Shahidan bersetuju untuk bertanding saya memutuskan untuk mengundur diri.

"Saya tidak akan bertanding jawatan presiden untuk memberi laluan dan memberi sokongan penuh kepada Shahidan sebagai presiden KOM dan tidak akan menentang Datuk Seri. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mencalonkan saya sebelum ini," katanya.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan di antara Datuk Fadzil A Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.

Bagi jawatan naib presiden, Nurhayati sekali lagi dicalonkan yang menyaksikan kedudukan berkenaan turut mempunyai lima calon lain iaitu Syamsul Bani Abdullah, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Datuk Mark William dan Sallehuddin Satar.

Berita Harian X