KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berharap perwakilan dapat membuat keputusan tepat bagi memilih calon paling layak untuk menerajui badan induk itu.
Beliau berkata dengan dua pencalonan yang diterima bagi mencabar jawatan presiden yang ketika ini disandang Datuk SM Muthu menjelang pemilihan pada 12 Jun ini membuktikan betapa ahli gabungan mahukan perubahan dalam badan induk berkenaan.
Karim ketika sesi pengumuman calon bertanding, kelmarin menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa ia tidak mengikut perlembagaan persatuan.
Tegasnya, tindakannya itu adalah demi kebaikan KOM yang disifatkan dalam keadaan hura-hara ketika ini di bawah kepimpinan Muthu.
"Tiga suku kehidupan saya habis dalam stadium. Apa yang saya bangkitkan atas dasar sebagai pencinta sukan ini, olahraga bukan medan politik atau milik presiden. Saya bersuara untuk perkara yang tidak betul yang saya lihat berlaku depan mata saya sendiri.
"Saya gesa Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan PJS (Pesuruhjaya Sukan) untuk teliti perkara ini sebelum ia mudarat. Yang dicalonkan adalah menteri dan bekas EXCO negeri.
"Ketulusan sangat penting demi sukan olahraga Malaysia selari dengan akta pembangunan sukan. Mungkin pihak polis juga perlu terbabit bagi tidak memburukkan keadaan di AGM pada 12 Jun ini.
"Mahukah sukan kita 'reput' ini bakal di timbang di besi buruk nanti," kata Karim.
Semalam, Muthu mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan bagi penggal 2022/2025 biarpun dicabar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Seorang lagi calon adalah bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim namun memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding.
Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.
Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Karim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.