Khamis, 2 Jun 2022 | 7:22pm
Presiden KOM, Datuk SM Muthu (kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Presiden KOM, Datuk SM Muthu (kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muthu tak undur, tetap lawan Shahidan

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu tetap akan bertanding mempertahankan jawatannya biarpun dicabar Menteri Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan kepimpinan badan induk berkenaan 12 Jun ini.

Muthu berkata beliau tidak akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan yang juga bekas presiden KOM sebaliknya menyerahkan kepada ahli gabungan membuat keputusan untuk memilih individu yang layak bagi menerajui badan induk berkenaan.

"Datuk Seri Shahidan dicalonkan ahli gabungan dan saya juga menerima pencalonan. Jadi, tidak elok untuk saya menarik diri selepas mendapat kepercayaan daripada ahli gabungan yang mencalonkan saya.

"Bagi saya, ini adalah persaingan yang sihat. Pada hari pemilihan nanti, kita berilah peluang kepada ahli gabungan untuk buat keputusan memilih siapa yang layak," katanya selepas majlis pengumuman calon bertanding bagi pemilihan kepimpinan KOM penggal 2022/2025, semalam.

Muthu mula menduduki kerusi nombor satu KOM pada 2019 selepas menewaskan penyandang jawatan ketika itu, Datuk Karim Ibrahim dengan kelebihan tiga undi dalam sesi pemilihan bagi penggal 2019/2022.

Selain Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Muthu kali ini turut dicabar bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Muthu berkata ahli gabungan yang menyokongnya berpendapat beliau wajar diberikan peluang sekali lagi bagi menerajui KOM selepas banyak usaha dan perancangan bagi pembangunan sukan itu tergendala disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda pada awal 2020.

"Disebabkan COVID-19 yang melanda selama dua tahun, kita tidak boleh buat apa-apa untuk membangunkan sukan ini. Jadi, mereka merasakan saya perlu meneruskan khidmat untuk membantu membangunkan sukan ini.

"Jika terpilih, saya akan gunakan peluang ini sebaiknya bagi membuat perancangan untuk meningkatkan lagi tahap sukan olahraga di negara ini," katanya.

Berita Harian X