Rabu, 1 Jun 2022 | 6:01pm
Pegawai Pemilihan Jawatankuasa KOM, Datuk V Subramaniam (tengah) ketika mempengerusikan sesi membuka sampul pencalonan kepimpinan KOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pegawai Pemilihan Jawatankuasa KOM, Datuk V Subramaniam (tengah) ketika mempengerusikan sesi membuka sampul pencalonan kepimpinan KOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Shahidan sah cabar Muthu jawatan presiden KOM

KUALA LUMPUR: Penyandang bagi jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu akan dicabar dua calon termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan penggal 2022/2025 badan induk itu 12 Jun ini.

pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 12 Jun ini.

Selain Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs), seorang lagi yang turut dicalonkan bagi merebut kerusi nombor satu badan induk itu ialah Nurhayati Karim yang menerima pencalonan daripada Persatuan Olahraga Perak (POP) sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi manakala Nurhayati yang dianggap muka baharu pula adalah bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan di antara Datuk Fadzil A Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.

Bagi jawatan naib presiden, Nurhayati sekali lagi dicalonkan yang menyaksikan kedudukan berkenaan turut mempunyai lima calon lain iaitu Syamsul Bani Abdullah, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Datuk Mark William dan Sallehuddin Satar.

Pegawai Pemilihan Jawatankuasa, Datuk V Subramaniam, berkata setakat ini hanya dua bantahan dibuat untuk kertas pencalonan yang sudah dibuka hari ini.

"Bagaimanapun, dua bantahan berkenaan akan diteliti terlebih dulu mengikut syarat-syarat dan perundangan KOM.

"Saya akan membincangkan perkara ini dengan jawatankuasa dan dalam masa satu atau dua hari lagi baru keputusan akan dibuat," katanya sidang media selepas pengumuman calon yang bakal bertanding.

Antara bantahan berkenaan ialah membabitkan sama ada seorang calon boleh bertanding untuk dua jawatan dan satu lagi mengenai status calon sama ada sah atau tidak.

Dalam pada itu, Subramaniam memberitahu pencalonan daripada Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) terpaksa ditolak selepas menghantar borang tidak lengkap.

Berita Harian X