HANOI: Segalanya sudah terjawab mengenai insiden pelari pecut negara, Azeem Fahmi apabila ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil mengesahkan bahawa anak buahnya itu memang sah dibatalkan penyertaan pada saringan 100 meter (m) lelaki petang tadi di Stadium Nasional My Dinh sekali gus menyebabkan impian Malaysia meraih emas hatrik acara berkenaan tidak tercapai.
Menurut Manshahar, tidak ada apa yang kontroversi mengenai insiden berkenaan seperti yang digembar-gemburkan oleh netizen di media sosial kononnya pegawai perlumbaan tersalah membuat keputusan.
"Tidak ada kontroversi, segala bukti sudah ditunjukkan oleh pihak juri, pengarah teknikal, pengadil sudah menunjukkan bukti yang jelas kepada saya. Pengurus pasukan, jurulatih pecut, jurulatih Poad (Md Kassim), jurulatih Balachandaran pun ada. Buat masa ini untuk Azeem memang rezeki dia setakat itu sahaja. InsyaAllah akan datang ada yang lebih baik untuknya," kata Manshahar selepas tamat saingan riben biru sebentar tadi yang menyaksikan seorang lagi pelari negara, Arsyad Md Saat menduduki tempat keenam.
Selepas dua kali berturut-turut meraih emas acara berkenaan menerusi Khairul Hafiz Jantan pada 2017 (Kuala Lumpur) dan Haiqal Hanafi pada 2019 (Manila), impian untuk mengulangi pencapaian tersebut tidak kesampaian selepas pelari Thailand yang baru berusia 16 tahunn, Puripol Boonsoon, muncul juara.
Perak menjadi milik seorang lagi pelari Thailand, Soraoat Dapbang dan gangsa diraih, Marc Brian Louis dari Singapura, manakala Arsyad terpaksa berlari dalam kesakitan selepas mengalami kekejangan sejak semalam selepas membantu kuartet 4x100m negara meraih perak serta memecahkan rekod kebangsaan.
"Selepas dijelaskan pengadil dan juga pengarah teknikal dengan bukti, memang menunjukkan Azeem keluar lebih awal kerana kakinya tidak menjejak blok permulaan itu sebelum ataupun ketika tembakan pistol pelepasan," katanya.