Rabu, 18 Mei 2022 | 7:21pm
Aksi Andre ketika memenangi pingat emas dalam acara akhir lompat kijang pada Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Nasional My Dinh. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Aksi Andre ketika memenangi pingat emas dalam acara akhir lompat kijang pada Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Nasional My Dinh. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Andre tekad lebur rekod Hakimi

HANOI: Selepas menebus kekecewaan dalam acara lompat jauh apabila meraih pingat emas dalam lompat kijang semalam, Andre Anura Anuar mula memasang impian besar untuk mempertahankan pingat berkenaan di Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Atlet kelahiran Sabah itu mengakui bermula dari sekarang dia harus bekerja keras agar emas berkenaan tidak terlepas ke tangan atlet dari negara lain.

"Saya akan bekerja lebih keras dengan harapan dapat mengatasi rekod Hakimi (Muhammad Hakimi Ismail) nanti," katanya selepas tamat aksi di Stadium Nasional My Dinh.

Andre yang berjaya melengkapkan sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan menghadiahkan emas kelima kem olahraga berazam mahu memecahkan rekod Hakimi, 16.77 meter (m) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Ini emas pertama saya di Sukan SEA dan pastinya ia adalah pencapaian terbaik dalam karier saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya berjaya mengatasi kekecewaan selepas gagal meraih pingat dalam acara lompat jauh.

"Saya tahu acara lompat kijang sangat teknikal dan walaupun saya kalah dalam lompat jauh saya tahu kelebihan di lompat kijang mampu meraih emas buat Malaysia. Kemenangan tersebut sekali gus dapat mempertahankan pingat emas diraih atlet senior saya iaitu Hakimi," katanya.

Andre melakukan 16.51m sekali gus mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m yang dilakukan di Terbuka Malaysia Mac lalu dan dia berjaya mengekalkan penguasaan Hakimi sejak 2015 di Singapura.

Lompatan itu sekali gus menggagalkan hasrat atlet dari Filipina, Mark Harry Diones Aloto dan atlet tuan rumah, Tran Van Dien selepas masing-masing sekadar meraih perak dan gangsa.

Berita Harian X